Apakah hukum membeli di pasaraya yang ada menjual arak?
Jawapan:
HUKUM: Harus dan dibenarkan syarak.
HURAIAN: Dibolehkan untuk kita membeli-belah di pasaraya yang ada menjual arak. Namun sekiranya ada pilihan lain yang lebih baik iaitu pasaraya yang tidak menjual arak, sewajarnya dielakkan untuk membeli di pasaraya yang menjual arak. Pembeli barangan tidak akan menanggung dosa pemilik kedai/pasaraya yang menjual arak. Sepertimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain.” Surah Fatir: 18.
Hukum Cukur Kening
Apakah hukum mencukur bulu kening?
Jawapan:
HUKUM: Haram kecuali jika ianya terlalu tebal hingga mengaibkan atau untuk tujuan perubatan.
HURAIAN: Terdapat hadis yang jelas melarang perbuatan mencukur kening. Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH melaknat wanita pembuat tatu dan yang bertatu, wanita yang mencukur kening dan yang dicukur keningnya, dan dikikir giginya dengan tujuan mencantikkan diri. Mereka mengubah ciptaan Allah Taala” (Riwayat Muslim, no. 2125)
Menurut Imam al-Nawawi: “Adapun al-namisah dengan huruf sad yang tidak bertitik adalah menghilangkan bulu pada wajah. Al-Mutanammisah adalah yang meminta dibuang bulu pada wajah. Perlakuan ini adalah diharamkan kecuali jika tumbuh pada wanita jambang atau misai, maka tidak diharamkan untuk menghilangkannya bahkan sunat di sisi kami. Sekiranya untuk kecantikan semata-mata iaitu pelakunya membuat untuk dilihat cantik, ianya adalah diharamkan kerana perbuatan untuk kelihatan cantik. Jika sekiranya dia berhajat untuk perubatan atau kerana aib dan yang selainnya, tidak mengapa untuk menghilangkannya. (Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/106)
Sumber: Sinar Harian