Bahayakan Keselamatan Awam, Polis Rampas Dron Di Merbok Dan Langkawi


ALOR SETAR - Polis Kedah menahan dua orang awam kerana menggunakan pesawat tanpa pemandu atau dron  di dua lokasi larangan iaitu di Parlimen Merbok dan Langkawi, semalam.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim, peralatan itu dirampas dan individu yang menerbangkan dron tersebut turut ditahan bagi mengambil keterangan.

Katanya, pihak kami akan membuat laporan dan menyerahkan peralatan berkenaan kepada pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk siasatan terperinci.

"Tangkapan ke atas individu terbabit dijalankan atas faktor keselamatan kerana pesawat berkenaan tidak sepatutnya diterbangkan di tempat-tempat awam terutamanya ketika orang ramai berkumpul.

"Peralatan berkenaan boleh mengundang bahaya kepada orang awam sekiranya insiden tidak diingini berlaku"katanya memetik Sinar Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di bilik media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini, sempena Hari Penamaan Calon yang berjalan dalam keadaan baik di 15 pusat penamaan calon  Kedah dengan keadaan terkawal.

Susulan itu kes tersebut, beliau menasihatkan kepada semua pemilik dron supaya tidak memilih untuk menerbangkan pesawat berkenaan sepanjang tempoh masa PRU, terutamanya pada hari mengundi.

"Saya minta pemilik-pemilik dron pilih hari yang lain, jangan terbangkan dron pada hari mengundi kerana bilangan orang awam berada kawasan mengundi adalah sangat ramai, ia menjadi satu kesalahan.

"Polis akan mengambil tindakan menahan sesiapa sahaja melakukan kesalahan berkenaan dan juga merampas peralatan 'dron' tidak sesuai diterbangkan di tempat awam,"ujarnya.

Selian itu, Zainal Abidin menegaskan setiap individu perlu memainkan peranan terutama yang melibatkan keselematan orang awam sepanjang tempoh sehingga hari mengundi pada 9 Mei ini.

Hal ini kerana, peralatan dron itu sangat bahaya jika ia jatuh di tempat orang awam berkumpul, dan jika mahu terbangkan pemilik perlulah dapatkan kebenaran pihak DCA terlebih dahulu.

Mengulas lanjut mengenai persediaan polis Kedah menghadapi hari mengundi pada 9 Mei ini, seramai 5,214 pegawai dan anggota polis akan bertugas mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh tersebut.

"Selain itu, penugasan polis Kedah juga dibantu oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) melibatkan seramai 203 orang.

"Seramai 1,309 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang tempoh berkempen mulai hari ini hingga 8 Mei ini.  Pihak polis menasihatkan orang ramai terutama penyokong parti supaya tidak melakukan provokasi,"katanya. - Kedahnews.com

#DahulukanRakyat
#HebatkanNegaraku