PETALING JAYA - Selepas digemparkan dengan hantu kebaya merah yang muncul di tengah jalan baru-baru ini, netizen sekali lagi dikejutkan dengan gelagat makhluk berbaju putih sedang memanjat tiang di sebuah bangunan.
Video berdurasi 52 saat yang memaparkan rakaman berhantu itu menjadi tular di media sosial sejak Rabu lalu.
Dalam rakaman yang diambil pada waktu malam itu, kelibat berbaju putih dengan rambut yang panjang mengurai itu sedang leka memanjat tiang sebelum turun di balkoni sebuah bangunan tiga tingkat.
Lebih mengerikan, makhluk tersebut turut berlegar-legar di luar balkoni sambil memandang ke luar sebelum rakaman tiba-tiba terhenti.
Bagaimanapun, teka-teki mengenai penampakan 'hantu' itu terjawab apabila individu yang juga pemilik video tersebut tampil memberi penjelasan mengenai insiden tersebut.
Individu tersebut menerusi Facebooknya menjelaskan makhluk dalam video berkenaan bukanlah hantu seperti yang telah ditularkan.
Sebaliknya, katanya, video tersebut adalah rakaman penggambaran untuk sebuah filem tiga tahun lalu.
"Alamak... ini bukan hantu betul tau... orang sebenarnya. Video ini adalah rakaman shooting belakang tabir sebuah filem... 3 tahun lepas punya. Saya pun dah delete video kat FB aritu," tulisnya.
Dalam pada itu, pemilik video tersebut turut memohon maaf kepada netizen di atas kekecohan yang timbul.
"Sorry semua... tak tahu pula ada orang copykan video tu, dah viral pula. Adeh, salah sendiri juga g upload," tulisnya.
Sebaik tular di media sosial, video itu ditonton sebanyak 731,000 kali di Facebook.
Sumber: Mstar Online