SHAH ALAM – Tangki simpanan air yang kosong di sesetengah kawasan perumahan sekitar Selangor adalah antara penyebab gangguan bekalan air kerap di negeri itu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Beliau berkata tangki itu kosong berikutan bekalan air bersih terawat tidak mencukupi untuk diagihkan kepada rakyat Selangor.
“Tangki air yang besar tidak ada air sebab margin (air terawat) tidak banyak dan dilakukan pintasan (terus ke rumah),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 di Management & Science University (MSU), di sini, pada Selasa.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai jumlah tangki air kosong di sekitar kawasan perumahan di Selangor.
“Tanya kerajaan negeri berapa banyak tangki yang kosong,” katanya sambil menambah masalah tangki kosong turut berlaku di beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan.
Zaini menegaskan faktor cuaca bukan menjadi masalah utama krisis air sebaliknya ia berpunca daripada masalah pengurusan sistem perkhidmatan air. – Bernama