'Baru Seminggu Dah Kena Cetak Rompak'


KUALA LUMPUR - Bintang Dukun, Datin Seri Umie Aida, menggesa semua pihak memboikot video cetak rompak filem berkenaan yang baru saja menemui penonton di pawagam, minggu lalu.

Katanya, isu yang sudah lama membelenggu industri perfileman tempatan itu perlu diperangi secara menyeluruh bagi menghapuskan kegiatan merugikan dunia hiburan negara.

"Cetak rompak sudah terlalu lama kita dengar dan terbaru, Dukun yang baru seminggu berada di pawagam, pula menjadi mangsa. Tiada apa yang saya mampu minta kecuali kita sama-sama boikot cetak rompak.

"Kuasa untuk menghapuskan cetak rompak hanya ada pada pengguna. Tolong hargai industri kami," kata pembawa watak dukun bernama Diana Dahlan itu menerusi perkongsian di Instagramnya.

Pada masa sama, aktres yang pernah meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik itu turut meluahkan harapan supaya lanun cetak rompak dikenakan tindakan tegas.

"Apa akan jadi pada filem-filem akan datang kalau perbuatan tidak bertanggungjawab ini masih berleluasa? Harap pihak berkuasa mengambil tindakan," katanya lagi.

Bukan sekadar dijual dalam bentuk video cakera padat (VCD) yang rendah kualiti bunyi dan gambarnya, daripada maklum balas pengikut laman sosial beliau, sebahagiannya memaklumkan ia turut disebarkan di internet menerusi pautan khas.

Selepas 12 tahun terperap, filem kontroversi yang dikatakan diilhamkan daripada kisah benar itu mula menemui penonton pada 5 April lalu di lebih 100 pawagam di seluruh negara dan Brunei.

Dukun meraih sambutan luar biasa apabila mampu meraih hampir RM1.5 juta pada hari pertama tayangan, manakala dalam tempoh empat hari saja ia mengumpul RM6.2 juta.

Selain Umie, filem arahan Dain Said itu juga membariskan bintang handalan seperti Faizal Hussein, Namron, Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat, Bront Palarae dan Elyana.

Sumber: BH Online