Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Dr. Affifuddin Omar Meninggal Dunia


Kedah kehilangan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Affifuddin Omar yang juga seorang  pakar perancang ekonomi negeri.

Dr. Affifuddin, 75 disahkan  meninggal dunia pada pukul 10.23 pagi tadi.

Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ariffin Man, Allahyarham yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan isterinya, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Damansara, Kuala Lumpur.

“Arwah sememangnya diketahui berdepan dengan masalah jantung dan buah pinggang.

“Setakat ini saya dimaklumkan jenazah Dr. Affifuddin akan disolatkan di Masjid Saidina Umar al-Khattab di Bukit Damansara dan akan dikebumikan selepas waktu Zohor, hari ini,” katanya  dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum bertanding di Parlimen Padang Terap pada 1986, Dr. Afifuddin ialah Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA). 

Affifuddin dilahirkan pada 27 Mac 1943 di Kampung Kubang Lembu, Mukim Jitra.

Beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya dalam bidang Sains Pertanian dan memperolehi Sarjana Muda Sains Pertanian sebelum meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana di Universiti of Kentucky, Amerika Syarikat dalam bidang Pembangunan Ekonomi dan Sosial sehingga tahun 1971.

Dr. Affifuddin  memperolehi ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Ekonomi-Politik daripada Universiti Cornell, New York sehingga tahun 1978.

Sebelum mengetuai pentadbiran KEDA, Dr. Afifuddin merupakan Ketua Bahagian Perancangan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selain pakar rujuk kepada Bank Dunia serta Pengerusi Bank Rakyat.

Selepas menenagi piliharaya beliau dilantik Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Beliau juga pernah menjadi Ketua UMNO Daerah Padang Terap dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO 1993 - 1996. - Kedahnews.com