Berfikir Di Luar Kotak Untuk Jana Sumber Pendapatan


KANGAR – Usaha mencari sumber semula jadi yang terhad dalam negeri yang kecil memaksa pimpinan kerajaan Perlis untuk bertindak kreatif dan berfikir di luar kotak bagi memajukan negeri ini.

Inisiatif berterusan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dengan bantuan kerajaan Persekutuan ini telah bermula sejak selepas menang pilihan raya umum ke-13 pada 2013.

Hasilnya empat projek berimpak tinggi Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Padang Besar, Jeti Bersepadu di Sanglang, projek pelancongan mega di Kuala Perlis dan Pusat Bandar Kangar (KCC) telah bemula dan masih dalam perancangan, untuk dijadikan pemangkin ekonomi negeri.

“Sumber asli negeri termasuk sumber hutan begitu terhad…tidak boleh bawa Perlis ke hadapan. Sebahagian besar rakyat juga masih bergantung kepada sektor ekonomi tradisional seperti pertanian dan melaksanakannya secara tradisional.

“Tetapi dengan ‘leapfrog’ dan kreativiti, Perlis mampu melonjak dengan lebih pantas agar seiring dengan pembangunan di negeri-negeri lain,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Azlan berkata Perlis kini bukan lagi sebuah negeri kecil yang terpinggir kerana sudah mampu melakar pelbagai kejayaan menerusi beberapa projek mega yang mula mengambil tempat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Perlis kini sudah mula menumpukan kepada projek berimpak tinggi yang mampu meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat dalam tempoh yang cepat dan mempunyai jangka hayat yang panjang.

Beliau berkata antara inisiatif kerajaan negeri adalah mengeksploitasi kedudukan geografi Perlis yang strategik iaitu berhampiran sempadan Malaysia-Thailand kerana iklim pelaburan dan mempunyai potensi dalam sektor perkhidmatan dilihat sangat kompetitif serta komparatif, dijangka menjadi pemacu utama ekonomi negeri.

“CVIA di Padang Besar mampu menarik banyak pelabur dalam pelbagai industri dan membuka peluang pekerjaan dan kesan limpahan projek berkenaan secara tidak langsung akan merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan berhampiran.

“Projek ini mempunyai mapan dan disokong dengan pembinaan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang akan menyediakan sistem pengangkutan kargo yang cekap dengan keupayaan pengendalian kuantiti kargo yang lebih besar,” katanya.

Pembinaan infrastruktur CVIA melibatkan kos kira-kira RM1.2 bilion dan dijangka menarik pelaburan RM4.5 bilion dengan mewujudkan lebih 12,500 peluang pekerjaan.

CVIA adalah kawasan perindustrian terbesar di negeri ini dan akan menjadikan Padang Besar sebagai hab logistik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara, dengan pembinaan infrastrukturnya dijangka siap pada 2020 dan beroperasi sepenuhnya pada 2025, melibatkan tiga kluster industri, iaitu Penjanaan Tenaga Boleh Diperbaharui, Pembuatan Hijau dan Industri Halal.

Azlan berkata projek Jeti Bersepadu di Sanglang pula akan melengkapkan jaringan pengendalian kargo agar lebih efektif dan efisyen serta melibatkan kos menjangkau RM1.8 bilion.

“Ia sebenarnya menyediakan kemudahan pelabuhan. Ketika ini ia dalam peringkat proses merancang…yang mana pembinaannya mungkin akan bermula pada akhir Jun atau awal Julai. Fasa pertama dijangka siap untuk digunakan pada pertengahan 2020.

“Menjelang 2020, kapal dagang sudah boleh berlabuh dan bukan itu sahaja, proses pendaratan ikan laut dalam boleh dilakukan selain pendaratan gas dan minyak, kapal layar dan juga cruise mewah, manakala perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan overhauling kapal dagang ini juga membuka peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan,” katanya.

Azlan yang begitu optimis dengan peluang ekonomi yang bakal melimpahi Perlis berkata dengan adanya jeti bersepadu itu, tidak mustahil ia mampu menawarkan perkhidmatan RORO (perkhidmatan kapal atau feri yang boleh membawa kenderaan) bukan hanya Perlis ke Langkawi malah merentas sempadan hingga ke Aceh, Indonesia dan Phuket, Thailand.

“Ini berdasarkan kedudukan geografi Sanglang itu sendiri yang terletak di sempadan antarabangsa iaitu Thailand dan Indonesia,” katanya.

Sebagai komplemen kepada sektor perkhidmatan yang pesat, kerajaan negeri komited menjayakan satu lagi projek mega berkonsepkan pelancongan yang menelan belanja RM311.4 juta di atas tanah seluas 6.9 hektar berdekatan Terminal Feri Kuala Perlis, yang akan bermula dalam seminggu lagi.

Azlan berkata projek usaha sama anak syarikat Lembaga Tabung Haji iaitu TH Properties Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKNEPs) itu bakal membabitkan pembinaan kompleks beli-belah, pangsapuri servis, hotel tiga bintang dan rumah kedai.

Selain itu, beliau berkata bagi menonjolkan Kangar sebagai ibu negeri, projek KCC di atas tanah seluas 1.6 hektar akan dilaksanakan di tengah bandar itu, melibatkan pembinaan sebuah hotel 36 tingkat dan dua blok pangsapuri 21 dan 27 tingkat, bernilai RM368 juta.

“Projek ini akan bermula tahun ini. Ia akan melengkapi pelan induk untuk menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri bandar raya menjelang 2030 nanti, sekali gus bakal mengubah landskap ekonomi dan gaya hidup rakyat negeri ini kepada sebuah masyarakat bandar,” katanya.  – Bernama