Berlima Gadai Nyawa Naik Motosikal Ambil Bantuan, Ibu Dedah Dugaan Lain Yang Netizen Tak Tahu


PETALING JAYA - Video tular yang menunjukkan seorang ibu menunggang motosikal sambil membawa empat anak kecil benar-benar menyayat hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Seorang anaknya duduk di bakul hadapan motosikal dalam keadaan terlentok, manakala di belakang wanita itu, tiga beradik lagi saling berpaut antara satu sama lain dengan anak yang paling belakang dilihat hampir terjatuh.

Sepanjang perjalanan mereka dari Selayang ke Damansara, tidak ada satu kereta pun yang sudi menghulurkan bantuan walaupun ia jelas membahayakan nyawa lima beranak itu, sehinggalah dua gadis yang juga menunggang motosikal terpanggil untuk membantu wanita berkenaan.

Menerusi beberapa video yang dikongsi pengguna Facebook, Nrftma Yussman pada Sabtu, dia dan seorang rakannya menceritakan bagaimana mereka berdua berasa lega mampu meringankan sedikit bebanan penunggang wanita itu dengan menumpangkan salah seorang anaknya untuk pulang ke rumah mereka di Selayang.

“Biasa tengok dalam TV je orang macam ni. Tapi semalam betul jadi depan mata dan saya dengan rakan yang tolong. Sombongnya manusia yang ada kereta. Pengorbanan seorang mak,” katanya dalam posting yang setakat ini telah dikongsi lebih 6,000 kali.

Ibu di dalam video itu ketika dihubungi mStar Online memberitahu, pada hari kejadian iaitu hari Jumaat, dia bersama empat anaknya menaiki motosikal untuk pergi ke sebuah masjid di Damansara bagi mendapatkan bantuan kerana keluarganya hidup susah.


Suriani Azira Shahril, 32, mendedahkan dia merupakan ibu kepada lapan anak tetapi dua daripadanya telah meninggal dunia dan kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu di Kuala Lumpur.

“Kami hidup serba kekurangan. Kadang-kadang makan cukup, kadang-kadang tidak. Biasanya saya akan pergi ke Chow Kit untuk mendapatkan sumbangan makanan yang diberikan NGO (badan bukan kerajaan) kepada golongan gelandangan.

“Selepas tengah hari Jumaat, saya ke Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Bukit Damansara untuk mendapatkan bantuan buat kami sekeluarga,” katanya.

Menceritakan tentang perjalanan mereka pada hari kejadian, suri rumah itu berkata dia dan empat anaknya sebenarnya telah menempuh dugaan lain apabila tersadai dekat Plaza Tol Sungai Penchala kerana motosikal yang dinaiki kehabisan minyak.

Namun katanya, selepas lebih setengah jam berjemur di bawah cuaca terik di tepi lebuh raya, seorang pengguna jalan raya sudi berhenti menawarkan bantuan dengan menumpangkan mereka ke masjid yang hendak dituju.

“Seorang lelaki menumpangkan kami anak-beranak, malah menghulurkan wang tunai untuk saya menaiki teksi bagi mengambil motosikal semula. Di masjid, saya mendapat bantuan wang tunai dan barang keperluan asas. Alhamdulillah, saya bersyukur,” kata Suriani sambil menambah keluarganya mendapat bantuan zakat menerusi Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) kira-kira RM350 sebulan.

Selepas menerima bantuan dan mengisi minyak motosikalnya, Suriani berkata, dia sekali lagi diuji apabila tersesat jalan untuk pulang ke rumah dan ketika itulah dia disapa oleh gadis bernama Fatimah dan rakannya, yang menawarkan diri untuk menumpangkan anak bongsunya yang berusia tiga tahun.

Suriani mengakui perbuatannya menunggang motosikal lebih muatan melanggar peraturan jalan raya bahkan membahayakan nyawa mereka lima beranak.

“Sudah tentu sebagai ibu saya sayangkan anak-anak dan tiada niat untuk membahayakan mereka. Tapi membiarkan mereka bersendirian di rumah di tingkat 14 juga mengundang bahaya, jadi saya tergerak hati untuk membawa mereka bersama. Dua lagi anak pula sudah berada di sekolah.

“Saya berharap semua pihak faham keadaan saya. Syukur alhamdulillah kerana meskipun perjalanan agak ‘panjang’ dengan bermacam-macam dugaan, saya mendapat pertolongan daripada insan-insan yang berhati mulia,” katanya. 

Katanya, suaminya bekerja sebagai kelindan lori yang meraih pendapatan kasar kira-kira RM900 sebulan atau mencecah sehingga RM1,500 sekiranya berkerja lebih masa.

Sumber: Mstar Online