ALOR SETAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, menganggap PAS kemungkinan akan memberi saingan sengit bagi mereka pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.
Parlimen Kubang Pasu yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara dua parti itu dan parti gabungan PKR pastinya akan menjadi perebutan hebat ekoran parti bulan purnama dan gabungan PKR kini tidak sehaluan.
“PKR sebelum ini bergantung kepada kekuatan PAS, dan sekarang mereka sudah berpecah. BN dan PAS jelas dengan apa yang diperjuangkan…sekali BN tetap BN dan begitu juga PAS, mereka tidak akan ubah. Parti yang lain-lain itu tidak jelas perjuangannya.
“Sebab itu saya kata, kita (BN) dari dulu memang berkhidmat, rakyat tahu menilai antara wakil rakyat yang bekerja dan tidak bekerja. Jika ada persaingan sengit pun mungkin daripada PAS,” katanya memetik Bernama.
Perkara itu sedikit memberi kelebihan dan keyakinan buat BN untuk mempertahankan kerusi itu, sikap penyokong yang setia dan jelas dengan perjuangan parti juga mampu menjadi pendorong kepada peluang cerah mereka.
Mohd Johari selaku penyandang kerusi itu, berkata jentera parti juga perlu terus komited bekerja demi memastikan kemenangan parti.
Beliau berkata demikian selepas proses penamaan calon Parlimen Kubang Pasu di pusat penamaan calon di Dewan Tunku Anum, Pejabat Daerah Kubang Pasu, Jitra, di sini semalam.
Mohd Johari, 64, menjadi pencabar kepada Datuk Amiruddin Hamzah (PKR-PPBM) dan Norhafiza Fadzil (PAS).
Sementara itu, Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan menyifatkan kehadiran bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra sedikitpun tidak meninggalkan kesan kerana beliau bertukar dari DUN Ayer Hitam ke Jitra disebabkan tidak yakin mampu mendapat sokongan di Ayer Hitam.
“Mukhriz bukan seperti pemimpin BN lain yang bermula dari bawah, bekerja dan berkhidmat dengan pengalaman. Beliau masuk ke Kubang Pasu ini juga bukan hendak bekerja dengan betul tetapi mengejar jawatan sahaja selain merasakan mampu dapat sokongan kerana di sini dulu tempat bapanya Tun Dr Mahathir,” katanya.
DUN Jitra menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mukhriz (PKR-PPBM), calon BN Datuk Aminuddin Omar dan Zulhazmi Osman (PAS).
Satu lagi DUN dalam Parlimen Kubang Pasu, Bukit Kayu Hitam turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Datuk Ahmad Zaini Japar (BN), Halimahton Saadiah Saad (PKR-PPBM) dan Habshah Bakar (PAS). - Kedahnews.com