KUALA LUMPUR -Transformasi sistem pengangkutan awam terus menjadi tumpuan utama Barisan Nasional (BN) bagi menyediakan perkhidmatan yang moden dan cekap.
BN melalui manifesto untuk Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dibentangkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi antara lain berjanji memperkenalkan Pas Pengangkutan Awam Transformasi Nasional 2050 (TN50) berharga antara RM50 hingga RM150 yang memberi akses perjalanan tanpa had sebulan untuk pelajar, belia bekerja, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’, manifesto itu turut berjanji akan mewujudkan zon ekonomi baharu di kawasan sempadan dengan membangunkan kawasan-kawasan ketersambungan jalan raya.
Berikut merupakan isi kandungan manifesto BN dalam mentransformasikan pengangkutan awam negara ini:
Membina Landasan Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Membina Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dari Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor.
Meningkatkan jaringan pengangkutan awam Lembah Klang dengan pembangunan Sistem Aliran Transit Ringan (LRT) fasa 3 dan Sistem Aliran Transit Massa (MRT) fasa 3.
Membina Landasan Berkembar Gemas-Johor Bharu.
Menaik taraf dan menyelenggara jalan persekutuan secara berkala sebagai alternatif kepada lebuh raya bertol.
Menaik taraf landasan berkembar Lembah Klang sepanjang 42 kilometer (km) memberi akses perjalanan tanpa had sebulan untuk pelajar, belia bekerja, warga emas dan OKU.
Meningkatkan kualiti perkhidmatan bas pengantara.
Membina sebuah pelabuhan moden bertaraf dunia di Pulau Carey.
Membina landasan kereta api elektrik dari Subang Jaya ke Terminal Skypark Subang.
Mewujudkan zon ekonomi baharu di kawasan sempadan dengan membangunkan kawasan ketersambungan jalan raya.
Menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Kota Bharu di Semenanjung.
Membina Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bharu dan Singapura.
Menaik taraf infrastruktur pengangkutan di Pulau Labuan menerusi pembinaan jambatan dan menambah pelantar feri.
Menyiapkan Lebuh Raya Pantai Barat dari Banting ke Taiping menjelang 2020.
Menaik taraf fasiliti jeti, terminal dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Pulau Langkawi dengan peruntukan sebanyak RM86.5 juta.
Membina dan menaik taraf jambatan-jambatan di kawasan kritikal seperti di Batang Lupar, Temerloh, Kota Tinggi dan Batang Kali.
Meluaskan kawasan liputan Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) sepanjang 600km di Semenanjung.
Membina lebuh raya laluan lingkaran tengah yang menghubungkan Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan.
Membina saluran paip gas asli sepanjang 140km dari Ayer Tawar ke Ipoh.
Mewujudkan pembangunan bandar baharu moden dan hijau di sepanjang jajaran pengangkutan awam.
Mewujudkan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) bersepadu di seluruh negara.
Menyiapkan pembangunan Lebuh Raya Pantai Timur fasa 3.
Menaik taraf gerabak perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS).
Menaik taraf jalan dan penyuraian trafik di pelabuhan-pelabuhan.
Membina Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Lembah Chuping.
Membaik pulih gerabak dan lokomotif KTM.
Membaik pulih infrastruktur landasan dan jambatan keretapi Pantai Timur.
Menggalakkan penggunaan elektrik secara optimum melalui pemasangan meter pintar dan lampu diod pemancar cahaya (LED).
Meningkatkan penggunaan bas elektrik secara berperingkat bagi mengurangkan emisi karbon dioksida.
Menaik taraf sistem pengairan dan saliran di 143 lokasi untuk meningkatkan pengeluaran padi.
Menaiktaraf 422 kilometer jalan di kawasan Felda.
Membina dan menaitaraf jalan ladang meliputi jarak sepanjang 830km.
Memperhebat agenda kesalinghubungan antara kawasan-kawasan luar bandar melalui pembinaan 383 jambatan kecil di seluruh negara.
Menambah lampu jalan di kawasan-kawasan penempatan Felda.
Menaik taraf 419km sistem pembentungan di kawasan-kawasan Felda.
Menaik taraf jalan di kawasan sawah sepanjang 623km bagi memudahkan pengangkutan padi.
Membina empat loji rawatan kumbahan wilayah dan rangkaian paip pembentungan di Semenanjung.
Menambah tanda, gaisan dan lampu jalan di kawasan-kawasan Felda meliputi 1,240 km.
Membina loji rawatan pembentungan wilayah di Tunjong, Kelantan merangkumi 34.9 km yang memanfaatkan 300,000 penduduk. - Bernama