BN Umum Calon Seminggu Sebelum Hari Penamaan


PUTRAJAYA - Barisan Nasional (BN) dijangka akan mengumumkan calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam tempoh seminggu hingga 10 hari sebelum hari penamaan calon, 28 April ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata tarikh pengumuman itu masih belum lagi ditetapkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, Tengku Adnan turut menafikan dakwaan bahawa senarai calon yang akan mewakili BN sentiasa berubah-ubah.

"Ini persepsi orang yang tidak faham apa yang kita lakukan. Ia tidak berubah-ubah.

"Kita nak cari calon yang rakyat hendak dan suka, bukan parti atau saya yang suka. Kita membuat saringan demi saringan untuk memastikan calon yang kita utarakan adalah yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Anugerah Kualiti Pendidikan Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini, hari ini.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan parti itu akan mengambil tindakan tata tertib terhadap ahlinya yang dipercayai menurunkan bendera parti di Wangsa Maju.

Sumber: BH Online