SHAH ALAM - Memilukan apabila mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan kurang 24 jam ditemui dalam sebuah tong sampah di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini, pagi tadi.
Bayi malang yang dibaluti kertas surat khabar dan diletakkan dalam plastik putih itu ditemui pekerja pungutan sampah pada jam 7.51 pagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan mendapati mayat bayi itu dalam keadaan sempurna, tidak berbau dan masih bertali pusat.
"Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan sampah sememangnya diangkut setiap hari di kawasan berkenaan," katanya di sini, hari ini.
Kata Baharudin, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.
"Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Shah Alam dan bedah siasat akan dilakukan esok bagi mengetahui punca kematiannya," katanya.
Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian supaya tampil menyalurkannya ke balai polis berdekatan.
Sumber: BH Online