SELEPAS dikecam teruk oleh netizen gara-gara isu ayam rendang 'crispy', juri MasterChef UK akhirnya tampil memberikan penjelasan.
Menerusi rancangan Good Morning Britain, Gregg Wallace menjelaskan apa yang dimaksudkannya adalah rendang ayam yang dimasak peserta dari Malaysia, Zaleha Kadir Olpin itu sebenarnya tidak masak, bukan garing.
"Saya tidak bermaksud ia seharusnya digoreng, seperti ayam goreng. Apa yang saya maksudkan adalah ia tidak masak. Ia hanya tidak masak. Ia putih dan lembik," katanya pada rancangan itu.
Hos rancangan itu turut mempersoalkan kenyataan Wallace itu dengan menempelaknya "tetapi anda sebut 'crispy'!"
"Percayalah tukang masak yang terbaik selalu melepasi ke peringkat seterusnya. Dia (Zaleha) disingkirkan bukan kerana kulit rendang ayamnya tidak rangup. Dia disingkir kerana peserta lain lebih baik," jelas Wallace lagi.
Wallace dan seorang lagi juri, John Torode menerima kritikan hebat netizen selepas menyingkirkan Zaleha kerana menyifatkan rendang ayamnya tidak 'garing'.
Terdahulu, Torode turut memadamkan kenyataannya di Twitter tentang masakan rendang selepas menerima kecaman teruk daripada netizen.
Torode antaranya memuat naik status mengatakan rendang berasal dari Indonesia dan mengucapkan “namaste”, sekaligus mengguris sensitiviti masyarakat tempatan.
Episod rendang ayam rangup itu juga mengundang reaksi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib, menerusi akaun Twitternya pada Selasa secara sinis berkata: "Mana ada orang makan rendang ayam 'crispy'? #MalaysianFood."
Sumber – Astro Awani