PETALING JAYA - Beberapa gambar menunjukkan seorang wanita yang disolek dan ditampal dengan sekuntum bunga sehingga menutup sebahagian wajahnya tular di media sosial pada Sabtu.
Wanita yang digambarkan sebahagian netizen sebagai berimej pelik itu merupakan salah seorang tetamu jemputan dalam program bual bicara Borak Kopitiam yang disiarkan di saluran TV3, pagi Sabtu.
Segelintir netizen menyifatkan solekan itu keterlaluan untuk digayakan, tidak terkecuali yang meninggalkan komen sinis tentang bunga yang ditampal pada wajahnya.
“Kenapa tak letak dengan pasu bunga sekali kan senang, lepas tu siram air bubuh baja,” kata seorang netizen.
"Kenapa tak letak je pelepah kelapa, daun kantan, daun kesum, tak pun daun pandan, wangi apa."
“Risau aku tengok, mata tertutup, kan lebih elok letak pokok rambutan ke pelam ke, senang nak makan, tinggal petik je. Rumput kat rumah akak banyak, tak nak letak kat kepala juga ke? Apasal tak letak bunga Raffelesia je, senang tutup muka habis,” demikian antara kritikan yang diberikan netizen.
Bagaimanapun, wanita berkenaan sebenarnya merupakan seorang model yang hadir ke program itu bersama seorang jurusolek sebagai tetamu jemputan bagi membincangkan topik berkaitan seni solekan wajah.
Jurusolek berkenaan, Noor Ezzreen Abdu Razak, 29, menjelaskan bahawa model tular itu adalah adik perempuannya yang sengaja disolek begitu bagi memenuhi kehendak penerbit program untuk menyesuaikannya dengan topik perbincangan.
Dia yang lebih dikenali Bunga berkata, bunga yang ditampal pada wajah model adalah bunga yang diambil dari rumah, untuk berekpresi dengan seni serta membuat lakaran bagi menonjolkan kesan animasi.
“Ya, memang saya tampal bunga sebesar itu pada wajah dia (model) sebab mahu menunjukkan seni animasi menggunakan bunga.
“Kalau sesiapa yang menonton program ini pagi tadi, mereka akan nampak ada lakaran beberapa ekor kumbang di sekitar bunga tu,” katanya kepada mStar Online, sambil menambah solekan tersebut mengambil masa kira-kira setengah jam untuk disiapkan.
Bagaimanapun Bunga menegaskan sebagaimana yang disebutnya dalam program bual bicara itu, solekan wajah berkenaan dibuat mengikut acara dan tema tertentu.
“Ia bukanlah solekan bila wanita nak keluar tiap-tiap hari, memanglah tak sesuai. Saya sebenarnya dah lama buat solekan ni, untuk sesi penggambaran foto di luar atau dalam studio mengikut tema seperti flora.
“Kalau ada majlis-majlis tertentu yang ada tema flora pun boleh buat macam ni. Tema pun flora, dah tentu ada bunga... sinonim dengan wanita,” katanya yang sebelum ini pernah tular dengan video animasi ‘makcik dan pakcik bawang’.
Menurut Bunga, dia menganggap kritikan netizen berhubung solekan itu mungkin disebabkan mereka tidak menonton penjelasannya di dalam program berkenaan, dan hanya memberi pandangan berdasarkan gambar-gambar yang tular.
“Kalau mereka tengok saya di TV, pasti mereka tahu kenapa bunga sebesar itu ditampal pada muka. Bunga je pun, lainlah batu kalau ditampal nampak pelik.
“Kalau saya tampal bawang pula kat muka, lebih-lebih lagi kat tepi mata nanti pedih pula,” katanya dalam nada bergurau.
Sumber: Mstar Online