KEMAMAN - Cadangan Pakatan Harapan untuk menghentikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika menang dalam PRU14 umpama membunuh harapan penduduk Pantai Timur.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau terkejut dengan cadangan yang disuarakan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan perkara itu.
Katanya, penduduk Pantai Timur telah sekian lama menantikan satu sistem pengangkutan kereta api yang efisyen seperti di Pantai Barat dibina di Pantai Timur sebagai 'game changer' bagi pembangunan dan peningkatan ekonomi setempat.
“Tun Mahathir kini sudah jadi seperti tipikal pembangkang kerana kalau dulu apabila pembangkang mendengar projek besar, mereka akan tentang termasuk semasa Tun jadi perdana menteri.
“Bila Tun Mahathir nak buat Lebuhraya Utara Selatan, pembangkang berarak (menentang), bila beliau nak buat Jambatan Pulau Pinang, pembangkang protes...nak buat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Menara Berkembar Petronas (KLCC) pun semuanya pembangkang protes jadi sekarang Tun dah jadi macam pembangkang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau persediaan Karnival Usahawanita 2018 sempena Road to MAHA 2018 di Pantai Kuala Kerteh, di sini, semalam.
Menurutnya, Tun yang dahulunya mempunyai pandangan yang jauh dalam memajukan jaringan sistem pengangkutan dan jalan raya kini ibarat membunuh harapan rakyat Pantai Timur dengan cadangan untuk menghentikan projek meja itu.
Tegasnya, cadangan membina ECRL itu bakal merubah keseluruhan landskap ekonomi Pantai Timur yang jauh ketinggalan jika dibandingkan Pantai Barat.
“Rata-rata kita tahu bahawa pembangunan yang dibuat sebelum ini lebih tertumpu di kawasan Lembah Klang,” katanya.
Tun Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan semalam mendakwa bahawa projek ECRL bernilai RM55 bilion merupakan satu pembaziran kerana tiada keperluan kemudahan itu disediakan kepada rakyat.
Ahmad Shabery memberitahu projek ECRL yang didakwa menyebabkan pembaziran juga boleh dipersoalkan memandangkan banyak projek mega dijalankan ketika zaman Mahathir turut menelan kos berbilion ringgit.
“Dahulu Tun silap besar sebab cuba pindahkan sebahagian operasi Perwaja Steel dari Kemaman ke Gurun, Kedah tetapi ekoran sistem pengangkutan yang tidak efisyen ia akhirnya gagal.
“Begitu juga dengan pembinaan Putrajaya yang banyak menerima bantahan dari rakyat kerana kononnya membazir tapi akhirnya rakyat tetap menerima,” katanya.
Sumber: Sinar