Calon BN Bukit Pinang Mahu Bawa Kemajuan, Khidmat Bakti Pada Rakyat


ALOR SETAR – Dr. Mohammad Nawar Ariffin merupakan seorang Pakar perunding pembedahan ortopedik, yang dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang.

Beliau beriktizam mahu membawa pengundi di kawasan itu mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan di mana menjadi teras utama kepada kemajuan sesebuah bangsa dan negara.

Berusia 42 tahuN, beliau mahu menjadikan kisah dan pengalamannya dalam bidang perubatan dan penglibatan aktif dalam persatuan sebagai pemangkin semangat rakyat kawasan itu selain berazam mahu menawarkan perkhidmatan politik berasaskan khidmat bakti.

“Sudah tiba masanya pengundi di Bukit Pinang, yang selama ini hidup dalam gerhana di bawah kepimpinan wakil rakyat pembangkang, merasakan arus pembangunan selari dengan kuasa yang ada pada kerajaan pusat dan negeri,” katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon-Calon BN Kedah di Seri Mentaloon di sini, semalam oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Calon Dr. Mohammad Nawar ini bukanlah sebarangan calon, difahamkan beliau kini bertugas sebagai pakar perunding pembedahan ortopedik di sebuah hospital swasta di Kota Damansara dan merupakan pengasas KL Free Children Hospital.

Bapa kepada lima anak yang dilahirkan di Kampung Baru, Padang Tenusu, Pokok Sena itu merupakan Ikon Belia Negara selama tiga tahun berturut-turut sejak 2011, kedudukan 10 teratas Program Angkasawan Negara dan Ketua Pemuda Forum Silaturahim Masjid Serantau/Sedunia.

Pendekatan secara peribadi untuk menarik hati pengundi akan menjadi kunci utama kepada strateginya untuk berkempen kelak.

Berkelulusan dalam bidang perubatan dari Universiti Malaya, harapan beliau kepada pengundi Bukit Pinang adalah memberi kepercayaan kepadanya untuk membawa kawasan itu mengecapi nikmat dan limpahan pembangunan.

Dr. Mohammad Nawar sebelum ini pernah mencuri perhatian dalam Perhimpunan Agung UMNO 2015 apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memetik nama beliau sebagai contoh antara kejayaan UMNO dalam membela serta mengubah nasib orang Melayu dan bumiputera di negara ini.

Ia susulan ucapan Dr. Mohammad Nawar yang menceritakan kedaifan hidupnya dan mengakui ‘setiap butir nasi dimakan, adalah rezeki kurniaan Allah, hasil titik peluh perjuangan UMNO’.

Setakat ini, PAS mengumumkan Wan Romani Wan Salim yang merupakan penyandang kerusi DUN tersebut untuk bertanding pada PRU14. - Kedahnews.com