Cara KAFA Tamat Kontrak Pemain Tidak Profesional – PFAM


KUALA LUMPUR – Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) kecewa dengan cara segelintir persatuan dan kelab yang tidak profesional dalam menamatkan kontrak pemain tanpa surat rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail, berkata semua pihak termasuk pemain perlu sedar mengenai tanggungjawab dalam kontrak dan memahami peraturan serta undang-undang bagi memastikan perkara sedemikian tidak berlaku.

“Apa yang berlaku jelas situasi yang mengecewakan kerana mengikut peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), tidak ada seorang pemain yang boleh ditamatkan kontrak secara tidak adil.

“Ia perlu melalui proses tertentu untuk menilai kerjaya seorang pemain dan pengurusan tidak boleh mengambil tindakan begitu sahaja untuk menamatkan kontrak.

“Jadi, kami mengharapkan pemain boleh merujuk PFAM supaya kami boleh meneliti kes terbabit dan berusaha menyelesaikannya dengan saluran yang betul,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kelab Golf Universiti Putra Malaysia (UPM), kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai penamatan kontrak beberapa pemain Kelantan termasuk ‘Pogba Malaysia’, S Veenod, Izham menjelaskan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemain terbabit dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi membincangkan isu berkenaan dengan lebih mendalam.

“Buat masa ini, tiada surat tamat kontrak rasmi yang dikeluarkan. Jadi, kami perlu menunggu pengurusan KAFA untuk berjumpa dengan pemain dalam masa terdekat.

“Apapun, pemain terbabit juga sudah menghubungi kami dan kami sedang meneliti kes terbabit,” katanya.

Sebelum ini, KAFA membuat tindakan drastik apabila menggugurkan beberapa pemain antaranya Veenod, pemain import Brazil, Bruno Lopes; pemain import Indonesia, Ferdinand Sinaga; penyerang, Norfarhan Muhammad (dipinjamkan) Rozaimi Azwar, Faizol Nazlin Sayuti, Sukri Abd Hamid, Shafiq Ab Rahman, Tengku Qayyum Ubaidillah dan Hattaphon Bun An.

Bagaimanapun, Veenod yang juga bekas pemain tengah Selangor itu menjelaskan dia kini kebingungan mengenai statusnya kerana tidak menerima sebarang surat hitam putih berhubung tindakan KAFA berkenaan.

Justeru, dia tidak akan teragak-agak mengheret KAFA ke muka pengadilan jika gagal menyelesaikan isu penggugurannya daripada skuad itu secara profesional. 

Sumber – BH