Bekas Pengerusi DAP Chen Man Hin bimbang pengundi Cina terutama wargaemas yang sekian lama menyokong parti itu akan keliru apabila DAP bersetuju mengguakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding "roket" pada PRU-14.
Menurut Man Hin, jika calon DAP menggunakan logo PKR ia kemungkinan memberi kesan kepada parti itu sendiri.
"Saya sangat terkejut dan tidak faham mengapa kita (DAP) memutuskan untuk tidak menggunakan logo kita sendiri, " katanya dan sedih kepimpinan DAP mengorbankan roket yang telah dikenali oleh pengundi parti itu.
Penasihat DAP itu meluahkan perasaaan kecewanya itu dalam wawancara khas dengan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily semalam.
Jelas beliau, DAP sepatutnya meneruskan sahaja hasrat untuk menggunakan logo sendiri dalam PRU-14.
Pakatan Harapan semalam mengumumkan akan hanya menggunakan logo PKR bagi empat parti dalam gabungan itu untuk menghadapi PRU ini. Ia dilancarkan oleh pengerusi gabungan pembangkang itu, Tun Dr.Mahathir Mohamad di Pasir Gudang, Johor.
Sebelum ini Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menjelaskan DAP tidak akan menggunakan logo roket sebaliknya memutuskan untuk memakai satu logo bersama daripada sebuah parti dalam Pakatan Harapan.
DAP telah menggunakan logo roket sejak pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1969.
Man Hin yang juga bekas Ahli Parlimen Seremban selama lima penggal berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam urusan parti tersebut tetapi akan menyampaikan kekecewaannya kepada Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Guan Eng.
Semalam Presiden PKR, Datk Seri Dr. Wan Azizah Ismail amat gembira melihat Dr Mahathir mengenakan logo parti nya dan mengibakar bendera PKR.
Turut hadir pada majlis pelancaran dan ceramah di Pasir Gudang, Johor itu ialah Guan Eng, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu.
Pakatan mengambil keputusan menggunakan logo PKR di saat akhir setelah Pakatan Harapan gagal didaftarkan berpunca kegagalan PPBM mematuhi Akta Pertubuhan hingga parti itu dibubarkan sementara oleh RoS. - Kedahnews.com
,