Dakwaan Pesawat Tun M Disabotaj, DCA Diarah Siasat


KUALA LUMPUR - Kerajaan mengarahkan siasatan segera berhubung dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kemungkinan wujud unsur sabotaj terhadap pesawat yang sepatutnya beliau gunakan untuk penerbangan ke Langkawi petang semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sudah diarahkan untuk menyiasat kes berkenaan.

"Ini adalah dakwaan yang serius dan kami memandangnya sebagai serius.

"Pada masa yang sama, kami harap ini bukan sandiwara politik. Ini bukan isu yang boleh digunakan untuk kepentingan politik," katanya.

Tiong Lai berkata, juruterbang dan pemilik jet peribadi berkenaan akan diminta memberi keterangan berhubung kejadian itu.

"Ini perkara serius berkaitan isu membabitkan keselamatan penerbangan dan kita tidak mahu ada sesiapa yang meragui standard dan pematuhan berhubung peraturan keselamatan penerbangan," katanya.

Tiong Lai berkata, setakat ini juruterbang pesawat berkenaan belum membuat sebarang laporan.

"Kita mahu menyiasat sama ada ini (dakwaan) betul atau hanya sekadar gimik politik," katanya.

Ketika menghadiri Program Hi-Tea Wanita pakatan pembangkang Bersama Komuniti Cina dan India Langkawi di pulau itu petang tadi, Dr Mahathir mendakwa ada pihak cuba mensabotaj perjalanannya dari Subang ke Langkawi hari ini, sebagai usaha menghalang beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, pesawatnya mengalami kerosakan dan terpaksa mencari pesawat ganti bagi membawanya ke Langkawi.

Sumber:BH Online