BERA - Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyorok undi pos dan menggantikannya dengan kertas undi palsu merupakan tuduhan liar dan tidak berasas.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang bekas pemimpin yang sudah lama sudah jadi perdana menteri dan telah melalui banyak pilihan raya.
"Saya ingat Tun Dr Mahathir ini dah lupa. SPR ini sudah ada sejak daripada zaman dia. Tidak pernah timbul pun isu SPR ini menipu dan sebagainya."
"Kalau SPR ini dibenarkan menipu, kita (Barisan Nasional) tidak akan kalah di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan sebagainya tapi disebabkan mereka jujur, pembangkang ada yang menjadi Anggota Parlimen," katanya.
Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Purun di sini, pada Sabtu.
Dr Mahathir dalam satu ceramah politik di Kedah dilaporkan berkata SPR akan menyorok peti undi pos dan diganti dengan undi palsu bagi memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).
Ismail Sabri menambah tuduhan itu berkemungkinan dibuat kerana Dr Mahathir tidak yakin bahawa pembangkang boleh menang pada pilihan raya umum tidak lama lagi.
"Jadi lebih baik dia (Dr Mahathir) tuduh SPR dahulu supaya bila dia kalah nanti dia boleh mengatakan SPR sebagai punca," katanya.- BERNAMA