KUALA LUMPUR - DAP kurang menonjolkan ciri kecinaannya semata-mata menyasarkan untuk memenangi lebih banyak kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu dan Bumiputera pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata mereka perlu mewujudkan persepsi bahawa DAP tidak mendominasi pakatan pembangkang atau sebaliknya mereka akan ditolak pengundi Melayu.
"Ini adalah alasan di sebalik strategi DAP untuk mengetepikan logo 'Roket' dalam PRU-14 dan calon mereka bertanding menggunakan lambang PKR.
"DAP sendiri mengakui bahawa penggunaan logo PKR untuk bertanding dalam PRU-14 bermatlamat untuk memenangi lebih banyak undi Melayu," katanya dalam blognya, sskeruak blogspot.my., semalam.
Salleh menarik perhatian bahawa seperti biasa DAP akan memenangi lebih banyak kerusi berbanding sekutunya dalam pakatan pembangkang dan ia bermakna parti itu akan menentukan siapa yang akan menjadi perdana menteri.
"Walaupun (Datin Seri) Dr Wan Azizah Ismail adalah Presiden PKR tetapi bilangan besar kerusi Parlimen akan dimenangi oleh calon DAP dan bukan PKR. Oleh itu DAP akan memegang kata putus siapa menjadi perdana menteri dan ia bukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya. - BERNAMA