Durian Batu Kurau Akan Didaftar Di Bawah MyIPO


LARUT — Durian Batu Kurau akan didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk tujuan komersil bagi meletakkan durian itu setanding dengan durian Musang King, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata langkah ini bagi membolehkan benih durian berkenaan dikomersilkan selain meningkatkan pendapatan pekebun durian.

“Saya percaya apabila didaftarkan, benih durian orang kampung ini juga dapat memasuki pasaran,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anak Pokok Durian Musang King kepada penduduk kampung di Batu Kurau dekat sini kelmarin.

Hamzah berkata pihaknya akan memberikan bantuan 2,000 benih durian Musang King kepada 1,000 penduduk untuk ditanam di kawasan ini bagi menggantikan pokok durian yang sudah tua.

“Pemberian benih durian peringkat pertama ini sebagai percubaan dan kita akan berikan lagi selepas ini,” katanya.

Ketika berucap Hamzah berkata pokok durian Musang King yang ditanam ini mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh lima tahun dan durian Musang King dijual di China pada harga RM300. sebiji. – Bernama