E-Hailing Wajib Ikut Peraturan Sama Seperti Teksi


SERDANG – Mulai 6 April lepas, semua pemandu e-hailing dan kereta sewa diwajibkan melalui syarat dan peraturan sama dengan pemandu teksi bagi mewujudkan persaingan sama rata antara perkhidmatan tersebut, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata peraturan tersebut termasuk saringan latar belakang, kesalahan trafik, kesihatan, keperluan latihan dan pemeriksaan kenderaan berkala seperti yang perlu dilalui oleh pemandu teksi.

“Saya sedar bahawa pemandu teksi menghadapi banyak rintangan, dugaan dan cabaran. Saya sedar pendapatan pemandu teksi sedikit sebanyak terjejas dengan kewujudan perkhidmatn e-hailing di dalam negara kita.

“Satu perkhidmatan yang dituntut oleh rakyat (e-hailing) tetapi kita perlu melakukan sesuatu melalui intervensi kerajaan supaya periuk nasi pemandu teksi tidak terjejas,” katanya pada majlis penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di sini semalam.

Majlis yang dihadiri lebih 10,000 pemandu teksi dari seluruh negara itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri dan pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. -Bernama