Era Dr Mahathir Sudah Berlalu


KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menerima hakikat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai rancangan ekonomi yang lebih baik untuk negara bagi tempoh masa panjang.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata zaman pemerintahan Dr Mahathir sudah berlalu dan situasi ekonomi pada era pentadbirannya tidak sama seperti sekarang.

Katanya, tindakan Dr Mahathir cuba membawa semula era pemerintahannya ke zaman sekarang sudah tidak relevan dan hanya akan menyebabkan Malaysia mundur.

"Dr Mahathir sudah cukup lama berkhidmat pada zamannya dan sudah tiba baginya untuk terima kenyataan bahawa Najib mempunyai rancangan ekonomi yang lebih baik dan menyeluruh bagi kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Diskusi UMNO Online: Manifesto BN Jadikan PH Tidak Lagi Relevan, yang dikendalikan beliau sendiri.

Ahli panel lain ialah Koordinator Barisan Nasional (BN) Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Ketua Siswa BN, Muhammad Ameerul Haziq dan Peguam, Allena Razif.

Annuar berkata, manifesto pakatan pembangkang yang mahu menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) jika menjadi kerajaan hanya akan meletakkan negara dalam risiko kegawatan ekonomi yang lebih serius.

Katanya, tindakan pembangkang meracuni fikiran rakyat terhadap GST dan berjanji untuk menghapuskannya adalah bukti manifesto yang ditawarkan tidak bersifat realiti.

"Bagaimana pembangkang mampu untuk menghapuskan GST sedangkan pendapatan negara banyak bergantung hasil kutipan cukai dari pihak swasta dan mereka yang berkemampuan?

"Negara memerlukan wang untuk berdiri setanding negara maju dalam tempoh masa panjang. Pembangkang cuba memancing undi kononnya akan menggantikan GST dengan cukai baharu, namun ia adalah sesuatu yang samar dan tidak mampu ditunaikan," katanya.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, rakyat sudah bijak menilai kelemahan pembangkang dalam mengotakan manifesto kerana banyak janji belum ditunaikan dan kini cuba mengaburi mata pengundi dengan janji baharu yang kononnya lebih dekat kepada rakyat.

"Saya masih ingat lagi manifesto pakatan daripada Buku Jingga yang ditawarkan pada PRU-13, tiada satu pun janji yang ditunaikan. Kini, mereka keluar dengan janji baru pula yang jauh lebih sukar untuk dicapai.

"Rakyat tidak akan lupa janji yang ditabur kerana manifesto menjadi perkara utama yang dilihat setiap kali menjelang PRU. Semua yang dijanjikan perlu ditepati dan semua itu hanya mampu dilakukan oleh BN.

"Saya percaya rakyat sudah bijak menilai siapa yang mampu membawa negara ke tahap yang lebih tinggi tanpa mengenepikan unsur perpaduan dan keagamaan," katanya.

Sumber: BH Online