SEGAMAT – Filem pendek penuh emosi menampilkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama dua pelakon kanak-kanak, dilihat sebagai tindakan terdesak pemimpin itu untuk meraih undi simpati rakyat dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.
“Hanya warga emas boleh guna cara ini (filem pendek). Apa yang telah dilakukan oleh Dr. Mahathir, baik atau buruk selama 22 tahun telah menjadi sejarah dan beliau tidak mungkin dapat mencipta sejarah lagi kerana usianya telah mencecah angka lebih 90 tahun,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan bertemu pengundi di sekitar Pekan Batu Anam, di sini hari ini.
Mengenai sambutan pengundi Cina di Segamat, Dr. Subramaniam berkata BN Segamat sedang giat berusaha untuk menarik kembali hati pengundi Cina.
“Telah banyak perkara yang kerajaan BN telah lakukan menerusi projek pembangunan bagi masyarakat Cina di sini (kawasan Batu Anam) antaranya membina semula sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bernilai RM6 juta yang dilengkapi pelbagai kemudahan.
“Mesei-mesej ini sedang kita sampaikan sekarang dan kita cuba tingkatkan sokongan kaum Cina daripada 20 peratus pada PRU13 kepada 30 peratus pada PRU14 ini, yang mana saya yakin sasaran tersebut dapat dicapai,” katanya. – Bernama