BERA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berpesan kepada calon BN yang akan dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menggandakan usaha bagi memastikan kemenangan parti keramat itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, berkata bagi mereka yang tidak dipilih pula diminta ikhlas membantu gerak kerja calon yang bertanding, sekali gus menjanjikan kemenangan mutlak kepada BN.
"Pagi tadi, Perdana Menteri (Najib) berpesan Ahli Parlimen yang terpilih sebagai calon kerja keras dan melipat gandakan usaha terutama ketika turun berkempen... terus menambah daya usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Bagi yang tidak terpilih pula, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih dan mahu mereka beri sokongan dan bantuan kepada calon baharu yang bertanding di kawasan yang pernah wakili," katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di sini, semalam.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin; Timbalan Ketua Polis Negara,Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Abdul Rahman.
Ahmad Zahid mengulas mengenai pertemuan khas Perdana Menteri dengan Ahli Parlimen BN di Seri Perdana, Putrajaya di sini, pagi tadi.
Mengenai pengumuman Tun Dr Mahathir sebagai calon pembangkang di kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya kali ini, Menteri Dalam Negeri itu berkata, jasa beliau hanya tinggal sejarah kepada penduduk di pulau lagenda.
"Segala kebaikan dilakukannya (kepada penduduk Langkawi) itu sudah dirosakkan oleh beliau sendiri...saya harap orang Langkawi terus memberikan sokongan kepada calon BN untuk terus memajukan kawasan itu pada masa akan datang," katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata banyak bantuan dan kemudahan sudah diberi kepada penduduk Langkawi seperti mewujudkan kemudahan bekalan elektrik secara terus dari tanah besar kepada penduduk di Pulau Tuba, bersebelahan Pulau Langkawi yang sebelum ini tidak menikmati kemudahan itu.
Katanya, kemudahan jeti dan infrastruktur pelancongan lain turut dibangunkan kerajaan BN di bawah kepemimpinan Najib yang berterusan memajukan pulau pelancongan itu.
"Jika BN diberikan mandat semula, Langkawi akan terus dibangunkan, tetapi jika Langkawi memilih orang lain (selain BN) dibimbangi ia (pembangunan) sukar dilaksanakan," katanya.
Ahmad Zahid juga meminta mereka yang dipilih sebagai calon BN di kawasan Parlimen itu sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka menerima siapa sahaja calon yang akan bertanding di situ.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, calon BN, Datuk Ir Nawawi Ahmad menang Parlimen Langkawi dengan majoriti 11,861 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Abdullah dan calon bebas, Marina Hussein.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, rakyat di bandar dan luar bandar perlu sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada pembangunan yang dirancang kerajaan ke kawasan masing-masing.
"Ini kerana, semua agama di dunia mengajar pengikutnya bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang memberi pelbagai bantuan.
"Mereka jangan terpengaruh dengan budaya kebencian dan sikap anti pemerintah yang dibawa generasi muda termasuk anak mereka yang bekerja di bandar setiap kali tiba pilihan raya.
"Mereka juga perlu sedar bahawa kerajaan BN dan polis mempunyai persamaan yang jelas iaitu sentiasa berkhidmat kepada rakyat sepanjang waktu bukan bermusim seperti pembangkang," katanya.
Sumber: BH Online