GST Kurangkan Kebergantungan Hasil Minyak, Jimat Rezab


JOHOR BAHRU - Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjaya mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil jualan minyak dan gas sebanyak 15 peratus.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata 30 tahun lalu, kajian mendapati rezab minyak dan gas hanya mampu bertahan sehingga 20 tahun sahaja.

"Bagaimanapun disebabkan GST kita dapat mengurangkan pengeluaran minyak dan menjimatkan rezab.

"Walaupun memperkenalkan GST, kerajaan mengambil langkah pengimbangan dengan mengurangkan cukai individu, korporat, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap pada Majlis Agenda Ekonomi Negara Pasca PRU-14 di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, malam semalam.

Abdul Wahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata, GST di Malaysia sebanyak enam peratus adalah paling rendah berbanding negara lain di ASEAN dan dunia.

Katanya, kerajaan tidak perlu menaikkan GST, sebaliknya boleh menambah pendapatan menerusi cukai lain.

"Saya yakin mereka (kerajaan) mempunyai perancangan masa panjang tersendiri tetapi jika keadaan ketika itu memerlukan, jika benar-benar memerlukan saya berpendapat mereka boleh menaikkan cukai lain.

"Tidak semestinya GST, sebaliknya banyak cukai lain yang boleh difikirkan," katanya.

Menurutnya, pada tahun 2009 defisit fiskal negara daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.4 peratus, namun selepas pengenalan GST (2015) ia mencatat penurunan sehingga 3.2 peratus.

Pada 2017, katanya, defisit fiskal mencatat sebanyak 3 peratus dan dijangka berkurangan kepada 2.8 peratus tahun ini menerusi perbelanjaan berhemah.

"GST dapat meningkatkan pendapatan sekali gus menjimatkan perbelanjaan negara.

"Sebelum ini hanya kira-kira 2 juta penduduk membayar cukai namun pengenalan GST melebarkan kutipan cukai," katanya.

Sumber: BH Online