Hafiz Hamidun ‘Dirisik’ Ramai Wanita, Tapi…


SEJAK menjalani kehidupan sebagai duda selepas bercerai dengan pengasas Merve Cosmetic, Joy Revfa, penyanyi nasyid terkenal iaitu Hafiz Hamidun tidak menyangka ramai yang peduli mengenai kisah hidupnya.

Malah, terdapat juga pihak yang mahu memberi jaminan untuk ‘membalut’ dan ‘merawat’ luka di hati Hafiz yang masih ‘berparut’.

“Memang benar ada yang menawarkan diri untuk menjadi isteri saya sejak akhir-akhir ini. Ada yang simpati tak kurang juga yang benar-benar serius untuk membina perhubungan dengan saya.

“Ada pula yang datang ke rumah orang tua saya di kampung untuk bertanyakan sama ada saya mahu mencari isteri baharu atau pun tidak. Kalau difikirkan rasa lawak pun ada tetapi inilah realiti yang saya hadapi ketika ini,” cerita Hafiz dipetik sebuah portal online.

Ujar Hafiz lagi, terdapat juga anggota keluarga yang cuba mengenalkan dirinya dengan beberapa orang wanita kenalan mereka.

Tidak terhenti disitu, dia turut mengakui sering menerima direct message (DM) di Instagram miliknya daripada ramai wanita yang cuba mengisi kekosongan di hati.

Pun begitu, Hafiz sendiri mengakui pintu hatinya masih belum terbuka untuk mencari pengganti kerana dirinya sangat sibuk dengan kerjaya.

Katanya lagi, dia juga masih belum terdesak untuk mencari mana-mana wanita sebagai pengganti dalam masa terdekat.

“Sebenarnya saya terharu juga apabila membaca beberapa kiriman pesanan peribadi daripada peminat.  Sampai ke hari ini mereka masih ambil berat dan menitipkan semangat buat saya mengharungi hidup.

“Jangan risau, saya okay sahaja. Kes saya pun sudah lama berlalu dan tiada apa lagi yang hendak diperkatakan. Tak usahlah diungkit kembali cerita lama memandangkan saya sendiri sudah lupakannya. Apa yang penting masa hadapan,” kata Hafiz.

Dalam pada itu, Hafiz berkata dia mahu menjadikan tahun 2018 sebagai tahun untuknya mengembara ke serata pelosok dunia termasuk melawat ke Balkan dan beberapa negara lain.

Jelasnya, pengembaraan tersebut tidak sekadar bercuti semata-mata tetapi dia juga menggunakan waktu tersebut untuk menghasilkan karya baru dalam bidang seni. - Kedahnews.com