Hamidin Sah Tanding Presiden FAM


PETALING JAYA - Ahli Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi sebulat suara menerima peletakan jawatan Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim daripada badan induk itu.

Keputusan dicapai menerusi Mesyuarat Khas Pertama Exco FAM Bagi Penggal 2017-2021 itu turut menyaksikan, Timbalan Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi dilantik sebagai pemangku Presiden seperti yang disyorkan oleh Tunku Ismail sebelum ini.

Yusoff, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) bakal memikul tugas selaku pemangku sehingga pemilihan baru pada Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Presiden pada Kongres itu selepas mendapat sokongan penuh daripada Exco FAM.

Mesyuarat Khas FAM kali ini mendapat tumpuan meluas selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail mengumumkan peletakan jawatan genap setahun beliau dilantik sebagai Presiden Badan induk itu pada 25 Mac lalu.

Biarpun tidak bersama FAM, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menerima pelantikan sebagai Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), pada hari yang sama peletakan jawatannya.

Sumber: BH Online