Hamidin Sedia Galas Tanggungjawab Presiden FAM


PETALING JAYA – Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan Presiden FAM yang baharu pada Kongres Tahunan kali ke-54 badan induk itu dijadual berlangsung Julai depan.

Hamidin yang mula menyandang jawatan Setiausaha Agung itu pada 2013, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak selain turut berbincang bersama Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Sudah tentu hari ini saya menunggu jawapan daripada Exco FAM selepas Tunku Ismail mengesyorkan saya sebagai calon presiden baharu…saya begitu terharu dengan sokongan daripada mereka (exco) yang semuanya dengan satu niat bersetuju mahu fasa peralihan bola sepak negara dapat dijalankan dengan baik.

“Setelah mengambil kira semua faktor selain berbincang dari hati ke hati bersama Tunku Ismail serta mendapatkan pandangan pelbagai pihak, saya ingin mengesahkan saya bersedia bertanding jawatan presiden FAM pada Kongres Tahunan, Julai ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di sini, semalam.

Terdahulu, mesyuarat khas itu sebulat suara bersetuju menerima peletakan jawatan Tunku Ismail sebagai presiden serta memilih Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi untuk memangku jawatan yang dikosongkan TMJ itu sehingga kongres tahunan badan induk itu nanti.

Pada masa sama, Hamidin berharap hasrat Tunku Ismail untuk melihat beliau menyambung tugasan baginda selaku presiden dipersetujui semua pihak, namun tidak menghalang sekiranya ada mana-mana anggota gabungan FAM yang ingin mencalonkan individu lain.

“Kancah bola sepak negara kita ini berada pada tahap di bawah, jadi kita di bahagian kepimpinan tertinggi seperti yang diamanahkan oleh Tunku Ismail inginkan satu fasa peralihan yang cantik tanpa sebarang masalah untuk terus bergerak ke hadapan.

“Sudah tentu dalam undang-undang dibenarkan orang untuk bertanding dan kita tidak akan melarang siapa sahaja yang ingin bertanding. Tetapi kalau mereka memikirkan demi kebaikan bola sepak negara dan mengambil kira sokongan diberikan barisan Exco, kita berharap kalau boleh biarkan hanya satu calon.

“Seperti saya katakan, sesiapa pun rakyat Malaysia kalau dicalonkan oleh anggota gabungan (FAM), mereka berhak bertanding,” katanya. -Bernama