KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) memaklumkan bahawa penarikan semula buah-buahan termasuk tembikai wangi yang tercemar dengan bakteria listeria monocytogenes telahpun dijalankan.
Maklum balas tersebut dikeluarkan daripada MAQIS ketika ditanya sebarang tindakan susulan yang telah dilaksanakan daripada pihak berkenaan mengenai pengimportan buah tembikai wangi yang juga dikenali sebagai rockmelon atau cantaloupe dari Australia, hari Khamis.
“Pihak kami sentiasa memastikan hanya buah-buahan yang memenuhi syarat ditetapkan sahaja dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia,” respon daripada pihak berkenaan.
Menurutnya juga, sebarang pengimportan produk pertanian ke Malaysia seperti buah tembikai perlu mematuhi prosedur SPS (sanitary & phytosanitary) serta bebas dari penyakit, serangga dan mikrob yang boleh membahayakan kesihatan manusia yang memakan buah tersebut.
Pihak MAQIS juga turut melaksanakan pemeriksaan ketat ke atas produk pertanian di semua pintu masuk negara dan memastikan hanya buah-buahan termasuk buah tembikai yang selamat sahaja dibenarkan diimport ke negara ini.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengeluarkan kenyataan akhbar pada 6 Mac yang menjelaskan bahawa Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia telah mengesahkan pengeksportan tembikai wangi selepas 1 Mac adalah selamat dan tidak terlibat dengan isu tersebut.
Sehingga kini, KKM melaporkan tiada kes keracunan listeriosis berlaku di Malaysia akibat memakan buah tersebut.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan sekurang-kurangnya sembilan negara, termasuk Malaysia, telah menerima eksport tembikai wangi yang dicemari bakteria listeria dari Australia pada 9 April lalu.
Pihak berkuasa Australia telah menghantar notis terperinci ke International Food Safety Auhorities Network ke negara-negara terbabit setelah mendapati syarikat pengeluar tembikai berkenaan telah mengeksport tembikai yang tercemar itu pada 2 Mac lalu.
Sumber: Awani