KUALA LUMPUR - Sejak negara ini merdeka sehingga memasuki era milenium, Malaysia tidak mempunyai sebarang platform khusus berkenaan penetapan kadar gaji minimum.
Sebarang peningkatan gaji hanya berdasarkan permintaan dan penawaran industri sahaja.
Kajian Bank Dunia pada 2011 turut menunjukkan bahawa antara tahun 2000 hingga 2008, kadar gaji di Malaysia meningkat secara purata sekitar 2.6 peratus setahun.
Kadar ini adalah rendah berbanding kadar peningkatan produktiviti buruh yang meningkat sebanyak 6.7 peratus setahun.
Keadaan ini mengakibatkan berlakunya 'herotan' dalam pasaran buruh negara yang mengekang peningkatan kadar gaji sedangkan kos sara hidup semakin meningkat.
Kajian Guna Tenaga Kebangsaan kendalian Kementerian Sumber Manusia pada 2009 menunjukkan sebanyak 33.8 peratus pekerja menerima gaji bawah RM700 sebulan.
Kadar itu adalah di bawah paras kemiskinan kebangsaan yang pada waktu itu sebanyak RM800 sebulan.
GAJI MINIMUM
Hasrat memperkenalkan kadar gaji minimum menjadi kenyataan pada Oktober 2010 ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2011.
Beliau turut mengumumkan penubuhan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sebagai ?platform utama penetapan upah termasuk menentukan kadar dan mekanisme pelaksanaan gaji minimum di negara ini.? MPGN ditubuhkan secara rasmi pada bulan September tahun yang sama.
Hasilnya, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) digubal dan diluluskan pada Julai 2011 dan kemudiannya diwartakan.
Perintah Gaji Minimum 2012 mula berkuatkuasa pada Januari 2013 yang menetapkan nilai RM900 (atau RM4.33 sejam) di Semenanjung dan RM800 (atau RM3.85 sejam) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan setelah diumumkan Perdana Menteri pada Mei 2012.
Selari dengan keperluan Akta 732, kajian semula kadar ini dilakukan dan mulai 1 Julai 2016 ia ditetapkan pada RM1,000 sebulan (atau RM4.81 sejam) bagi Semenanjung manakala kadar RM920 sebulan (atau RM4.42 sejam) ditetapkan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Melalui satu kenyataan, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr. Mohd Gazali Abas memberitahu bahawa melalui pengenalan kadar baru ini, jurang perbezaan kadar gaji minimum antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dikurangkan daripada RM100 pada tahun 2012 kepda RM80 mulai Julai 2016.
?Perbezaan kadar gaji minimum dikekalkan kerana mengambil kira keupayaan majikan untuk membayar gaji yang berbeza. Namun pihak kerajaan akan berusaha untuk menetapkan satu kadar gaji minimum yang sama bagi seluruh negara secara beransur-ansur dalam masa terdekat,? tambah beliau.
TIDAK LAGI PILIH KERJA
Anak muda tempatan sering dipersalahkan apabila timbul isu pengangguran dan kehilangan peluang pekerjaan atas alasan peluang kerja itu diambil pekerja asing.
Mereka sering dilemparkan dengan kata-kata seperti 'budak sekarang memilih kerja', 'orang tempatan malas' dan 'asyik nak gaji tinggi'.
"Orang kita sebenarnya rajin. Dalam konteks perlaksanaan gaji minimum kita dapat lihat sekarang pekerja tempatan tidak lagi memilih kerja.
"Ini terbukti apabila pekerja tempatan sudah mula melakukan kerja yang sebelum ini dikuasai pekerja asing seperti di stesen minyak," komen Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor.
Beliau turut berpendapat pelaksanaan kadar gaji minimum membantu merancakkan pengambilan pekerja tempatan tetapi dalam masa yang sama masih ada ruang untuk menambah elok keadaan agar persaingan sihat antara pekerja tempatan dan asing dapat diwujudkan.
Ulas beliau lagi, sasaran akhir MTUC adalah untuk meminimumkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
Sasaran yang ingin dicapai adalah nisbah 10:1 iaitu daripada 10 pekerja tempatan, hanya satu pekerja asing digajikan.
Untuk itu beliau menyeru agar tahap persaingan antara pekerja tempatan dan asing dapat disama ratakan dengan mewajibkan majikan membayar kos perlindungan sosial seperti caruman KWSP, Socso dan elaun kerja lebih masa bagi pekerja asing, sama seperti pekerja tempatan.
"Orang kita bukan tak mahu kerja tetapi kekurangan peluang pekerjaan. Gaji minimum memang diberi kepada semua pekerja termasuk pekerja asing. Tetapi kos pekerja asing masih lebih murah bagi majikan kerana mereka tidak perlu membayar kos perlindungan sosial seperti pekerja tempatan," ulas Abdul Halim.
KESAN POSITIF
Menurut data Kementerian Sumber Manusia, 2016 merekodkan beberapa kesan positif terhadap pelaksanan kadar gaji minimum. Pertama, pendapatan purata isi rumah negara meningkat daripada RM5,000 sebulan pada 2012 kepada RM6,958 pada 2016.
Purata gaji dan upah juga meningkat kepada RM2,463 setahun bagi 2016 berbanding RM1,881 setahun pada 2012.
Tambah membanggakan, tahap produktiviti buruh yang dicatatkan juga menunjukkan peningkatan nilai pengeluaran bagi setiap pekerja daripada RM71,700 pada 2012 kepada RM78,218 pada 2016.
Secara umum, pelaksanaan kadar gaji minimum juga meningkatkan kadar bayaran kerja lebih masa kepada pekerja kerana sebarang bayaran kerja lebih masa perlu disandarkan kepada nilai gaji pokok yang diterima pekerja.
PERLINDUNGAN PEKERJAAN
Hari Pekerja 2018 dengan tema "Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara" memerlukan ekosistem pekerjaan yang kondusif kepada semua pihak baik majikan, pekerja tempatan, pekerja asing mahupun pihak kerajaan sendiri.
Justeru, usaha kerajaan membela nasib golongan pekerja tidak pernah putus. Melalui pelbagai usaha keperluan golongan pekerja sentiasa diambil kira untuk memastikan keadilan kepada golongan ini dan mengelak sebarang bentuk penindasan oleh majikan.
Terkini, pelaksanaan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dikuatkuasakan mulai Januari 2018 memberi perlindungan pekerjaan kepada mana-mana pekerja yang dibuang kerja dengan bayaran elaun mencari kerja.
Selain itu, pekerja yang dibuang juga boleh memohon untuk mendapatkan latihan kemahiran untuk membolehkan mereka kembali ke pasaran kerja dan dalam masa yang sama, Perkeso turut membantu mencarikan pekerjaan baru untuk mereka.
Pengenalan SIP adalah tambahan kepada usaha sedia ada seperti perlindungan kemalangan di tempat kerja serta memartabatkan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam kalangan golongan muda bagi memenuhi keperluan 1.8 juta peluang pekerjaan menjelang 2020.- BERNAMA