Hukuman 2 Pemain Atur Perlawanan Badminton Mungkin Bukan Seumur Hidup


KUALA LUMPUR - Dua pemain negara yang dikaitkan dengan skandal mengatur perlawanan baru-baru ini, mungkin  tidak akan dikenakan penggantungan seumur hidup oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sumber menyatakan, mereka sebaliknya dijangka hanya dikenakan penggantungan selama lapan tahun.

"Saya tidak mengesahkan apa-apa, tetapi daripada apa yang saya dengar, pemain ini boleh dikenakan penggantungan lapan tahun.

"Ini kerana badan dunia itu mengambil kira beberapa faktor. Bagaimanapun seperti yang saya katakan, saya tidak boleh sahkan apa-apa sehingga BWF menulis surat secara rasmi kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

"Walaupun begitu, pemain ini akan kehilangan banyak perkara. Walaupun hanya dua tahun, banyak yang mereka akan rugi," kata sumber itu.

Difahamkan BWF sudah menerima laporan penuh daripada panel bebas tiga individu yang mendengar pendakwaan di Singapura, penghujung Februari lalu.

Mereka dikatakan berada dalam fasa terakhir untuk menyelesaikan dakwaan sebelum membuat kenyataan rasmi.

Pemain berkenaan - seorang daripadanya adalah bekas pemain remaja dan seorang lagi bekas pemain Piala Thomas - berdepan enam pendakwaan daripada enam kejohanan antara 2013-2016.

Berdasarkan peraturan BWF, pemain yang didapati bersalah mengatur perlawanan boleh berdepan hukuman mandatori penggantungan seumur hidup.

Bagaimanapun badan dunia itu masih belum mendedahkan nama pemain berkenaan tatkala Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang dilihat menghadiri pendengaran di sebuah hotel di Singapura.

Pemain berkenaan yang ketika ini digantung daripada semua kejohanan sehingga menantikan siasatan - dikatakan mahu mencabar keputusan berkenaan.

Mereka boleh membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland.

Sumber: BH Online