Industri Mobiliti Cipta Lebih 700,000 Peluang Kerja - PM


SERDANG - Datuk Seri Najib Razak berkata industri automotif bakal berkembang menjadi lebih canggih pada masa depan dan akan dikenali sebagai mobiliti terhubung yang dijangka berpotensi untuk mencipta lebih sejuta peluang pekerjaan baharu.

Malah, Perdana Menteri berkata industri mobiliti terhubung akan menjadi pelengkap kepada inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Beliau berkata, industri baharu itu juga akan membuka penempatan kepada kira-kira 480,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) dan 300,000 graduan universiti awam.

Katanya, mobiliti terhubung berupaya meneroka dan menganalisis data raya atau 'big data' yang dapat dicapai menerusi kewujudan internet berkelajuan tinggi dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sebagai faktor pemboleh kepada industri ini.

"Teknologi daripada mobiliti terhubung juga dapat meningkatkan ciri-ciri keselamatan kenderaan generasi akan datang seperti sistem untuk memaksa sesebuah kenderaan diperlahankan dalam jarak tertentu dengan kenderaan di hadapan yang sudah pun digunapakai ketika ini.

"Masyarakat luar bandar juga tidak akan ketinggalan dalam memperoleh manfaat visi mobiliti terhubung termasuk menyokong aktiviti pertanian, kesihatan, perikanan, penternakan, perladangan dan lain-lain.

"Rakyat juga akan berpeluang membangunkan perniagaan berasaskan logistik melalui pendekatan secara logistik pendanaan masyarakat dan pengangkutan multimodal.

"Penambahan jenis perkhidmatan juga akan wujud hasil daripada kemudahan perkongsian perjalanan, pengembara terhubung dan lain-lain. Semua ini akan membuka laluan kepada perniagaan baharu dan menjadi pemangkin kepelbagaian perkhidmatan semasa.

"Mobiliti terhubung disasarkan akan melalui peralihan dari satu produk kepada perkhidmatan dan dalam jangka panjang mempunyai kapasiti amat besar untuk membuka peluang perniagaan dan pekerjaan bagi mereka yang mengambil peluang ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Jerayawara Mobiliti Terhubung dan Malaysia Autoshow 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri J Jayasiri dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari.

Pameran automotif anjuran MAI selama empat hari bermula hari ini itu disertai banyak syarikat automotif terkemuka negara dengan lebih 100 model kenderaan dipamerkan.

Dalam pada itu Najib berkata, beliau yakin Dasar Automotif Negara 2018 (NAP 2018) akan terus mendokong transformasi industri automotif ke arah mobiliti pada masa depan dan seterusnya menjadi enjin penggerak kepada ekonomi Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Katanya, MITI dan MAI telah memulakan kajian semula Dasar Automotif Negara (NAP) 2018 yang merangkumi empat tonggak utama iaitu kenderaan generasi baharu, mobiliti, IR 4.0 dan kecerdasan buatan.

"Bagi merealisasikan visi ini, dasar dan peraturan hendaklah disemak dan diselaraskan. Pembabitan secara holistik merentasi pemegang kepentingan termasuk kementerian, agensi industri automotif dan golongan belia adalah penting dalam merancang dan melaksanakan strategi industri ke arah hala tuju yang sama di samping meningkatkan daya saing industri automotif negara," katanya.

Sumber: BH Online

#MalaysiaAutoshow2018
#MA2018
#BersamaBN
#HebatkanNegaraku