Isu 1MDB: Pertahan Najib, Dr Tan Digugurkan Sebagai Calon DAP


ALOR SETAR - Bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw,  tetap berpegang teguh pada kenyataannya bahawa laporan badan itu terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Itu pandangan saya berdasarkan laporan PAC mengenai 1MDB. Saya berpendapat, bukti perlu dikemukakan bagi mengaitkan pembabitan seseorang.

"Kegagalan berbuat demikian akan menjadikan (tuduhan) itu palsu," katanya seperti dilaporkan portal berita dalam talian, Malaysiakini, hari ini.

Dr Tan berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kenyataannya itu menjadi punca beliau digugurkan DAP sebagai calon Parlimen Kepong, untuk kali kesembilan.

Malam tadi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengumumkan penyandang kerusi Segambut, Lim Lip Eng, akan menggantikan Dr Tan di Kepong sebagai calon parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), manakala bekas Speaker DUN Selangor, akan bertanding di Segambut.

Menurut Dr Tan, berita mengenai penggugurannya diberitahu sendiri Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng pada 5 April lalu dan mereka turut meminta jasa beliau membantu jentera DAP walaupun tidak menjadi calon.

Dr Tan menambah, beliau yang menerima kenyataan tidak menjadi calon DAP di Parlimen Kepong tetapi menegaskan bukti perlu dikemukakan dalam hujah bagi menyokong sesuatu dakwaan.

"Hanya mahkamah yang boleh memuktamadkan sesuatu keputusan," katanya.

"Saya membaca laporan PAC. Apa yang ditemukan (bekas) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dikaitkan tetapi saya bersetuju siasatan lanjut perlu dibuat kerana ia membabitkan dana awam," katanya lagi seperti dilaporkan portal terbabit.

Dr Tan juga dilapor menegaskan, kenyataannya mengenai 1MDB itu dibuat secara sedar dan tanpa sebarang paksaan oleh mana-mana pihak.

Selain itu, beliau turut memberi nasihat kepada pengundi untuk PRU-14 ini supaya memilih dengan bijak.

Laporan PAC mengenai 1MDB setebal 106 halaman itu mengesyorkan pihak berkuasa menyiasat bekas CEO syarikat pelaburan terbabit, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak lain yang berkaitan.

Terdahulu, Perdana Menteri Najib Razak yang ketika itu menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, dilapor menegaskan laporan PAC terbabit tidak menyebut beliau terbabit dalam sebarang salah laku.- Kedahnews.com