DALAM buku Ma’alim Irsyadiah Li Sina’ah Tolib al-‘Ilmi oleh Syeikh Muhammad ‘Awwamah (hlm. 320-321) ada menegaskan, ‘Awasilah penuntut ilmu pada masa kini, lebih parah berbanding masa dahulu.
Internet dan pelbagai medium baru ini membawa banyak bala, mudarat dan bahaya daripada manfaatnya. Justeru, awasilah daripada melayarinya dengan sewenang-wenangnya. Begitu juga para penjaga hendaklah memberi pesanan yang tegas kepada anak-anak mereka dan mengawasinya.’
Ilmu yang kami maksudkan di sini ialah ilmu agama yang berkaitan dengan sumber-sumber yang tidak dikenalpasti tanpa asas rujukan yang sebenar serta diperkukuhkan dengan dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Hadith.
Mufti Wilayah, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, terlalu banyak maklumat yang bersifat sensasi, tidak sahih atau amat lemah. Boleh jadi juga ianya palsu dan menyeleweng daripada fakta yang sebenarnya. Banyak juga hadis-hadis yang tersebar sedangkan ia sudah lama dihukum oleh ulama, thiqah (dipercayai) dalam bidang ini tentang kepalsuannya. Justeru, sewajarnya perlu berhati-hati dan menapisnya terlebih dahulu, antaranya dengan bertanya kepada tuan-tuan guru, para asatizah yang mengetahui.
Menerusi ulasannya di Bayan Linnas, laman web Pejabat Mufti Wilayah, beliau turut menjelaskan, terdapat banyak maklumat berkenaan dengan agama kita berlegar di laman sesawang dan kadang-kadang ditularkan hingga disangkakan itulah agama yang sebenarnya.
“Tidak dinafikan, banyak sekali informasi yang disampaikan dan sering kali juga kita terlepas pandang akan kebenaran di sebaliknya. Antara maklumat-maklumat yang sering dikongsi adalah, hadis palsu yang disandarkan kepada Nabi SAW, tafsiran yang lemah, pendapat asing dan pelik, pendapat yang lemah dan juga pendapat yang menyalahi pendapat imam mazhab setempat atau muktabar.
“Kita perlu lebih berhati-hati dalam menerima dan menyampaikan maklumat. Kadar kethiqahan atau kepercayaan kepada maklumat juga perlu diambil kira agar ia benar tepat dari segi faktanya.
“Dalam menerima berita atau perkhabaran yang ditularkan, perkara penting yang boleh diambil adalah pengesahan terhadap butiran maklumat tersebut sama ada tepat atau sebaliknya,”katanya.
Terang beliau lagi, selain menyemak dan menapis, merujuk kepada mereka yang berautoriti juga merupakan usaha yang boleh dibuat. Hal ini amat penting agar peranan badan-badan yang telah diamanahkan dapat berfungsi dengan lebih efisyen, adil dan telus.
Sebagai contoh, jika permasalahan berkaitan dengan penyakit atau wabak, rujuklah kepada Kementerian Kesihatan. Jika isu berkaitan dengan hukum-hakam, jadikanlah badan yang berautoriti seperti pejabat dan jabatan mufti sebagai medan bertanyakan kekeliruan. Ini secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat untuk merujuk kepada yang sepatutnya sesuai dengan firman ALLAH SWT dalam surah Al-Nahl ayat 16: 43.
“Dalam ungkapan yang masyhur ada menyebut, ‘jangan ambil al-Quran daripada mushaf (tanpa guru) dan belajar ilmu daripada kertas atau buku semata’. Ini termasuklah alat sebaran am, media massa seperti internet untuk dijadikan ilmu. Hal ini amat bahaya dan menyeleweng dari hakikat yang sebenar.
“Bayangkan pada masa kini, semua boleh ambil maklumat dan informasi dalam internet tanpa mengenali siapa mereka, dari sumber mana, dan adakah sudah berlaku tapisan, semakan atau dalam ilmu Usul al-Fiqh seperti ‘al-Sabr wa al-Taqsim’. Ini semua akan memberi kesan yang amat mendalam dalam keabsahan maklumat itu sendiri,”ujarnya.
Justeru beliau menyarankan agar, sentiasa peduli dengan sebarang maklumat yang dikemukakan, lebih-lebih lagi berkenaan dengan agama yang kita anuti dan beriman dengannya.
INFO!
Sebelum Sebar
1.Kesahihan maklumat itu sendiri.
2.Penyampai maklumat itu sama ada fasiq ataupun tidak.
3.Tujuan maklumat itu disampaikan.
4.Sasaran kepada yang menerima maklumat.
5.Kesan daripada maklumat itu.
Bicara Hadis
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka ALLAH SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah ALLAH, membaca kitab ALLAH (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta ALLAH SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [Riwayat Muslim (4867)]
Kata-Kata Hikmah
Kepentingan menuntut ilmu
Telah berkata Ibn Abbas RA: “Aku merendah diri ketika menuntut ilmu maka aku dimuliakan ketika diminta mengajarkan ilmu”.
Telah berkata Abu Darda’ RA: “Aku mempelajari satu masalah ilmu itu lebih aku suka daripada qiyamullail”.
Telah berkata Ibn al-Mubarak RA: “Aku hairan dengan orang yang tidak pernah menuntut ilmu. Bagaimana dia boleh mendakwa dirinya mulia?”.
Telah berkata Imam al-Syafi’e RA: “Menuntut ilmu itu lebih baik daripada melakukan ibadah sunat”.
Sumber: Sinar Harian