Jangan Ganggu Tugas SPR - Abdul Hadi


KUANTAN - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, meminta semua pihak menghormati keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, SPR sebagai badan bebas berhak untuk menetapkan tarikh pilihan raya di negara ini selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kesesuaian masa dan pertimbangan lain difikirkan perlu.

"Mengenai (penetapan) tarikh pilihan raya, itu kerja SPR dan terpulanglah kepada mereka bila nak buat (hari mengundi). Yang penting ialah kesediaan rakyat untuk (keluar) mengundi pada tarikh berkenaan.

"Tak perlulah kita ganggu tugas mereka (SPR), nak perintah dia buat itu dan ini. Tugas kita sekarang ialah menggerakkan jentera parti, manakala pengundi pula kena bersedia untuk mengundi parti yang mereka sokong," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ceramah Amanat Pilihan Raya: PAS Teraju Pahang di Padang Awam Cenderawasih dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya PAS negeri, Rosli Abdul Jabar; Naib Ketua Dewan Muslimat PAS, Salamiah Mohd Nor; dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi.

Pada majlis itu, Abdul Hadi turut mengumumkan Nasrudin sebagai calon PAS bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota.

Pengumuman itu bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurang tiga penjuru antara Nasrudin, dengan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah, dan calon daripada Barisan Nasional (BN) yang belum diumumkan.

Ia seolah-olah mengulangi pertembungan pada PRU-13 antara Nasrudin dengan Saifuddin yang ketika itu masih bersama BN dan menyaksikan kemenangan berpihak kepada PAS.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai senarai calon PAS bagi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, Abdul Hadi berkata, pengumuman rasmi akan dilakukan pada 19 April ini pada majlis khas di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh.

Sumber: BH Online