Jangan Merajuk Dan Khianati Parti Dalam PRU14


KUALA KANGSAR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan semua anggota parti komponen BN termasuk UMNO agar jangan merajuk dan mengkhianati parti dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri turut mengingatkan mereka agar terus bekerja keras bagi mendapatkan mandat daripada rakyat.

“Jangan ada orang yang merajuk. Jangan mengkhianati parti kita. Kita mesti pandang ke hadapan. Kita tahu bahawa survival kita, walau marah macam mana pun, kalau tak suka perdana menteri pun tak apa, tetapi jangan runtuhkan parti kesayangan kita. Selagi ada parti, kita boleh meneruskan perjuangan.

“Parti ini (UMNO) adalah parti keramat yang banyak berjasa termasuk (kepada) perdana menteri 22 tahun itu. Dia (Tun Dr. Mahathir Mohamad) tak kuat, saya pun tak kuat. Dia jadi kuat sebab UMNO. Dia tidak boleh khianat pada UMNO sepatutnya. Jasa (UMNO) terlalu banyak kepada dia dan anak-anaknya.

“Ini kerana perjuangan UMNO dan BN yang mempertahankan dia (Dr. Mahathir) selama ini… Ini dia sanggup nak jatuh, bunuh dan runtuh parti yang banyak berjasa selama ini. Itu saya tidak dapat terima,” katanya pada Program Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat bersama Perdana Menteri di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Najib berkata PRU14 akan menentukan hala tuju masa depan negara.

“Ini bukan soal peribadi. Ini bukan soal siapa menjadi calon. Fikir masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita. Jangan biar pisang berbuah dua kali. Jangan biar Perak jatuh ke tangan pembangkang,” katanya.

Pakatan pembangkang PAS-PKR-DAP telah mentadbir Perak selama 11 bulan pada 2008.

Sementara itu, Najib berkata pihak pembangkang, khususnya DAP yang menjunjung prinsip demokrasi sebenarnya gagal mengikuti prinsip itu.

Sambil memberi contoh, beliau berkata anggota Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw digugurkan sebagai calon PRU14 kerana beliau bercakap benar dan melawan kehendak pemimpin.

“Dia cakap benar dan kena buang (digugurkan sebagai calon). Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), dia (Tan) kata perdana menteri tidak buat apa-apa salah. Dia cakap benar dan dia tidak dicalonkan (pada PRU14).

“Siapa lawan kehendak pemimpin utama memang tidak boleh… mana ada demokrasi dalam parti itu,” katanya.

Sementara itu, Najib berikrar akan bekerja sedaya upaya dengan pasukannya untuk memastikan Malaysia dimartabatkan sebagai negara terhebat.

“Kita sudah ada perancangan termasuk projek MRT (Transit Aliran Massa), LRT (Transit Aliran Ringan), High Speed Rail (HSR) (projek kereta api berkelajuan tinggi), lapangan terbang baharu dan pelaburan besar sudah ada. Kita perlu menang besar dan mendapatkan mandat.

“Orang kata seandainya BN menang semua akan naik. Bila undi naik, bursa saham pun naik, nilai mata wang pun naik,” katanya. – Bernama