KADA Akan Selesai Bayaran Bantuan Banjir, Elaun Bantuan Pesawah Sebelum 9 Mei


Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan menyelesaikan bayaran elaun bantuan pesawah berjumlah RM3.2 juta kepada 5,368 pesawah sebelum 9 Mei depan.

Pengerusi KADA Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata kerajaan telah memperuntukkan setiap penerima mendapat RM600 iaitu sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan bagi meringankan beban dan mengenang jasa pesawah.

“Bayaran bantuan tersebut dilakukan secara berperingkat kepada pesawah di enam kawasan terlibat di bawah pengurusan KADA,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Insentif Ladang Merdeka, Tabung Bencana Tanaman Padi, Pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Niaga (Tekun Nasional) dan Elaun Khas Ibu Tunggal di Pasir Mas semalam.

Md Alwi juga berkata KADA akan menyelesaikan pembayaran bantuan banjir berjumlah RM3.9 juta kepada 1,534 pesawah yang tanaman mereka rosak akibat banjir tahun lepas, sebelum tempoh sama.

Beliau berkata kerajaan membayar RM1,800 bagi sehektar kawasan tanaman yang rosak dan bayaran itu terhad kepada keluasan maksimum 2.5 hektar bagi seorang pesawah.

Di majlis itu, Md Alwi turut menyerahkan bantuan pinjaman modal sebanyak RM6 juta kepada 300 peserta Tekun Nasional di seluruh negeri itu untuk mereka menjalankan perniagaan.

Sementara itu, seorang penerima bantuan banjir, Che Annuar Md Salleh, 45, berkata bantuan tersebut amat diperlukan bagi meringankan beban kewangannya untuk tanaman padi musim baru.

“Selain bantuan sedia ada oleh KADA seperti baja, racun, dan lain-lain, bantuan kewangan seumpama itu boleh digunakan pesawah untuk pembelian input pertanian yang lain,” katanya.- Bernama

#BersamaBN
#HebatkanNegaraku
#DahulukanRakyat
#JomBN.