PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail setuju dengan Datin Seri Rosmah Mansor mengenai kepentingan mendidik anak menjaga adab perbualan, selepas isteri perdana menteri itu baru-baru ini mempersoalkan anak sulung presiden PKR itu kerana memanggilnya dengan nama.
Menurutnya, beliau dan Rosmah belajar di sekolah sama tetapi mereka berlainan.
“Kalau Kak Mah itu lain orangnya, ini Kak Wan. Jangan samakan, berlainan. Saya hendak cerita pasal Kak Mah ini, sebabnya kami berdua belajar di Kolej Tunku Kurshiah di Seremban.
“Namun apabila dia terasa hati dengan anak saya, memang kita minta maaf,” katanya berucap di Jelajah Felda Pekan Ayer Mawang di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Pada Jumaat, Rosmah melahirkan rasa kecewa dengan Nurul Izzah Anwar kerana tidak menghormatinya sebagai orang tua.
Rosmah berkata beliau mengenali Izzah sejak kecil tetapi kecewa dengan cara Nurul yang hanya merujuknya hanya dengan nama “Rosmah”.
“Saya tahu masa itu, saya tengok dia (Izzah) gigi pun tak ada lagi, masa dia umur 6 tahun ke 7 tahun lagi saya kenal dia, sekarang dia boleh panggil, tuduh saya macam-macam dalam sosial media.
“Dia tak nak panggil saya Datin Seri Rosmah tak apa, panggilah Aunty Rosmah ke, mak cik Rosmah ke? Ini tak, terus-terus panggil saya Rosmah Mansor,” kata Rosmah.
Susulan itu, Nurul meminta maaf kepada Rosmah sambil berkata dia menerima teguran itu kritikan membina.
Menurutnya, beliau akan menggunakan gelaran “Datin Seri” kepada Rosmah selepas ini.
Sumber: FMT