PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mengarahkan syarikat pengimport sardin dalam tin jenama TL Tan Lung dan TLC menarik balik produk berkenaan daripada pasaran negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, analisis yang dilakukan ke atas produk dari China terbabit mengandungi bendasing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada Genus Anisakis spp.
“Hasil analisis mendapati Canned Sardines in Tomato Sauce berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co. Ltd dan Sardines in Tomato Sauce berjenama TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Foods Co. Ltd. dari China tidak mematuhi Akta Makanan 1983.
“Syarikat pengimport terlibat telah diarah memanggil balik produk tersebut. Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sebelum ini tular di laman media sosial berkaitan cacing mati yang ditemui dalam produk ikan sardin dalam tin dari negara China.
Laporan menyatakan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia mengarahkan tiga pengimport produk ikan sardin dalam tin menarik balik produknya dari pasaran setelah pemeriksaan menunjukkan cacing mati ditemui dalam produk diimport dari negara China itu.
Noor Hisham berkata, jika pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my.
“Orang ramai boleh juga melayari laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya. –Kedahnews.com