Kapal Korek Terbalik: Dua Lagi Mayat Ditemukan Di Indonesia


JOHOR BAHRU  - Dua lagi mayat dipercayai krew kapal pengorek JBB Rong Chang 8 ditemukan di perairan Pulau Rupat, Indonesia pada Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan kedua-dua mayat itu dari pihak Badan SAR National (Basarnas) Indonesia.

Beliau berkata, lokasi penemuan mayat tersebut dianggarkan lebih kurang 55 batu nautika atau kira-kira 101.8 kilometer dari lokasi kapal berkenaan dilaporkan terbalik di kedudukan 15.8 kilometer dari Tanjung Tohor di Perairan Parit Jawa, Muar kira-kira pukul 8 pagi, 21 Mac lalu.

“Identiti mayat yang ditemukan masih belum dikenal pasti, pihak agen kapal telah dimaklumkan bagi menghantar wakil ke sana untuk proses pengesahan indentiti serta urusan selanjutnya. Kita tidak menolak mungkin mayat yang ditemukan di Indonesia itu adalah mangsa yang kita cari.

“Setakat hari ini, lima mangsa telah ditemukan selamat dan telah dibenarkan keluar dari hospital. Berdasarkan menemuan terbaru ini, enam mayat telah ditemukan di mana dua mayat sudah dapat dikenal pasti identitinya manakala empat lagi masih menunggu pengesahan,” katanya.

Sumber: Utusan Online