ALOR SETAR: Cubaan menyeludup 70 kilogram dadah dipercayai jenis methamphetamine dianggar bernilai RM3.85 juta berjaya dipatahkan Kastam negeri Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dekat Bukit Katu Hitam, Isnin lepas.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam berkata, sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz dikesan membawa dadah berkenaanketika menjalani pemeriksaandi lorong pemeriksaan kenderaan di ICQS berkenaan pada jam 9.30 pagi.
“Kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran tempatan, dipandu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang datang dari negara jiran.
“Hasil pemeriksaan awal terhadap kereta tersebut, pegawai pemeriksa mengesyaki bonet belakang kereta tersebut seolah-olah diubah suai,” katanya pada sidang media pada Rabu memetik Bernama.
Curiga dengan keadaan itu, pihak kastam mengambil langkah membuat pemeriksaan rapi sebelum menemui kesemua 70 bungkusan dadah yang dibalut plastik lutsinar di ruangan tersembunyi dalam bonet kenderaan yang diubah suai, jelas Subromaniam. - Kedahnews.com