Kedah Tidak Tergesa-Gesa, Bubar Selepas Perkenan Sultan Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah tidak akan tergesa-gesa membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada hari yang sama pembubaran Parlimen, sebaliknya ianya bergantung kepada perkenan Sultan Kedah, Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sebagaimana amalan biasa kerajaan negeri sebelum ini, beliau akan menghadap Sultan Kedah bagi memohon perkenan baginda untuk membubarkan Dun.

"Itu bergantung, kebiasaannya kita tidaklah (bertindak) terburu-buru kerana saya perlu mendapatkan perkenan DYMM Tuanku Sultan Kedah.

"Jadi kalau Perdana Menteri umum pada hari tersebut, mungkin hari yang berikutnya baru saya boleh menghadap DYMM Tuanku. Mungkin satu atau dua hari selepas itu (bubarkan Dun)," katanya kepada Kedahnews.com pada satu sidang media sejurus mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita tentang pembubaran Dun Kedah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Ahmad Bashah pada PRU ke-13 yang lalu selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah telah berjaya merampas kembali tampuk pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat yang kini telah terkubur.

Walau bagaimanapun, patuh pada keputusan pucuk pimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, beliau merestui perlantikan Timbalannya ketika itu, Dato' Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Namun begitu, Mukhriz dikatakan gagal mentadbir kerajaan negeri mengikut corak kerajaan berteraskan kepartian dan lebih bertindak secara "solo" telah menyebabkan majoriti Adun BN bangkit mendesak undi tidak percaya terhadap beliau.

Hasil siasatan yang diputuskan Jemaah Pemangku Sultan Kedah ketika itu memutuskan Mukhriz perlu meletak jawatan Menteri Besar susulan daripada majoriti Dun Kedah tidak lagi percaya pada kepimpinan beliau.

Sebelum melepaskan jawatan Menteri Besar, Mukhriz sempat mempergunakan Stadium Darul Aman dalam satu perlawanan persahabatan untuk meraih sokongan politik dan mendapatkan simpati penyokong Hijau Kuning atas penyingkiran tersebut.

Biarpun penyingkiran tersebut adalah sah daripada sudut perlembagaan dan konsep demokrasi, namun Mukhriz terus-menerus mengecam kepimpinan Ahmad Bashah yang turut beliau hina sebagai "Mat Lena'. - Kedahnews.com