ALOR SETAR - Kedah mahu memungut tiga mata penuh di Stadium Darul Aman bagi perlawanan kelapan saingan Liga Super menentang Negeri Sembilan, Selasa ini.
Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff berkata, selepas mengikat Terengganu FC (TFC) 1-1 di Kuala Terengganu Jumaat lalu, misi seterusnya adalah memastikan Kedah mencapai kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta Liga Super.
"Saya yakin pemain bersedia dalam misi mendapatkan tiga mata kali ini selepas kali terakhir melakukannya ketika menang ke atas Selangor sebelum ini."
"Misi memburu kemenangan kali ini akan terus diperkemaskan dengan perancangan strategi membabitkan beberapa pemain tidak beraksi di Terengganu sebelum ini seperti Pablo Pallares, Akram Mahinan dan Liridon Krasniqi yang dijangka diturunkan."
"Jika kita mampu mengulangi aksi cemerlang ketika menentang Selangor di laman sendiri sebelum ini, saya yakin momentum itu akan dapat terus dikekalkan dalam semua perlawanan seterusnya," katanya.
Nidzam yang mengemudi Kedah muncul juara Piala FA 2017 berkata, persembahan baik pemainnya sewaktu menentang Selangor dan Terengganu FC sebelum ini terus memberi keyakinan tambahan dalam mengukur tahap prestasi semasa Kedah.
"Di Terengganu, walaupun turun tanpa beberapa pemain utama, kami tetap dapat mengekalkan corak permainan berkesan dan seperti dirancang apabila menghadapi strategi Irfan Bakti di tempat lawan."
"Bertemu Negeri Sembilan kali ini, kami perlu lebih waspada bagi menghadapi taktikal dan perancangan jurulatih berpengalaman Azraai Khor yang mampu memerangkap Kedah dan melakukan kejutan jika tidak berhati-hati."
"Kepada semua pemain, saya mahu mereka teruskan usaha dan misi memburu kemenangan agar Kedah yang kini berada di kedudukan ke-6 dan mengumpul 10 mata pada carta liga mampu naik dan berada di kelompok teratas Liga Super," ujarnya lagi.
Sumber: BH Online