Kementerian Kerja Raya Kesal Pihak Tular Cerita Palsu Hospital Pendang Menjelang PRU14


ALOR SETAR - Kementerian Kerja Raya meluahkan rasa kesal terhadap pihak tertentu yang mengambil kesempatan menyebarkan cerita palsu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kononnya pembinaan Hospital Pendang ditangguhkan.

Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Kementeriannya, Datuk Sarani Dollah menegaskan bahawa projek berkenaan tidak ditangguhkan sebagaimana yang tersebar, bahkan Surat Setuju Terima (SST) akan diberikan kepada kontraktor pada 7 Mei ini.

Datuk Sarani Dollah
"Nak pilihanraya ni ada yg cuba viralkan pembinaan hospital Pendang kena tangguh...

"Tapi sebenarnya ia tetap diteruskan dimana SST akan dikeluarkan kpd kontraktor terpilih pada 7 Mei ini dan dijangka siap pada 2021.....", tegas beliau, memetik kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Berdasarkan kenyataan Sarani itu, difahamkan terdapat pihak tertentu yang cuba menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan, khususnya masyarakat Pendang, dengan menyebarkan dakwaan kononnya projek pembinaan Hospital Pendang ditangguhkan, diyakini bermotifkan politik.

Memetik kenyataan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul, yang sebelum ini terlibat secara tidak langsung dengan projek itu mendedahkan bahawa fakta sebenar menjelaskan bahawa pengambilan tanah bagi membina hospital Pendang telah bermula sejak 1982 lagi.

Projek berkenaan diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama projek susur keluar lebuh raya plaze tol Pendang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pendang ekoran kematian Ahli Parlimennya ketika itu, Almarhum Dato’ Fadzil Noor pada 23 Jun 2002.

Meskipun Barisan Nasional (BN) menang pada PRK itu, hanya susur keluar lebuh raya plaza tol itu sahaja yang dibina di Pendang, namun kelibat hospital yang dijanjikan tidak dilunaskan Mahathir sekaligus mengundang keresahan ramai pihak.

Oleh hal yang demikian, kegagalan bekas Perdana Menteri itu melunaskan janji membina Hospital Pendang dikatakan menjadi antara faktor PAS kembali menguasai Parlimen Pendang pada PRU 2004 walaupun BN menang besar pada pilihan raya itu.

Sinar kegembiraan untuk melihat Hospital Pendang terbina hanya timbul kembali apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil inisiatif untuk mengumumkan semula projek tersebut dalam RMK11 dan Bajet 2016.

Namun ekoran daripada projek berkenaan dinaik taraf kepada kategori Hospital Pakar Minor, ia tertangguh seketika bagi mengkaji semula pelan struktur dan rekabentuk yang bersesuaian, khususnya daripada aspek teknikal perubatan dan pertambahan kos pembiayaan.

Memetik kenyataan Exco Kerajaan Negeri, Dato' Dr Leong Yong Kong sebelum ini, projek Hospital Pendang telah ditender pada Disember tahun lalu dan dijangka bakal siap sepenuhnya pada 2021. - Kedahnews.com