Kenapa Guan Eng Terkejut PAS Sokong RUU Anti Berita Tidak Benar


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terkejut atau berpura-pura terkejut apabila beberapa ahli Parlimen PAS menyokong perbentangan Rang Undang-Undang AntiBerita Tidak Benar yang diluluskan semalam.

Jika parti Islam pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak menyokong undang-undang bererti parti itu akan membenar atau menggalakkan perbuatan memfitnah.  

Kenapa pula Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pinang itu terkejut sedangkan PAS bukan lagi anggota komponen pakatan pembangkang.

Guang Eng kini mungkin baru tersedar betapa PAS itu penting bagi Pakatan Harapan. Namun PAS kini sudah 'sedar dan insaf ' kerana DAP menolak keras pindaan Rang Undang-Undang Syariah (RUU355).

Seperti juga DAP memerlukan sokongan Tun Dr. Mahathir Mohamad, DAP juga memerlukan sokongan PAS bagi 'menghalalkan' penyebaran fitnah  terhadap kerajaan.

Guan Eng juga perlu sedar bahawa PAS juga difitnah oleh pembangkang kononnya menerima RM90 juta daripada UMNO.

Beliau juga perlu ingat bahawa beliau juga difitnah dengan berita 'tidak benar' sebelum ini dan pernah menang beberapa kes saman fitnah.

Bercakap pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini, Guan Eng berkata Pakatan Harapan (PH) yang diketuai partinya itu menjangkakan PAS akan bersama-sama PH dalam menolak pelaksanaan RUU berkenaan seperti mana PAS menolak RUU kajian persempadanan pilihan raya baru baru ini..

“Saya terkejut bahawa PAS boleh setuju dan sokong RUU Anti Berita Tidak Benar dan tidak sangka parti yang dipimpin g itu akan sokong, itu yang DAP terkejut,” katanya.

Justeru, Guan Eng berkata, langkah PAS yang menyokong RUU berkenaan menimbulkan keraguan terhadap prinsip parti itu yang masih kekal sebagai pembangkang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Adakah PAS merupakan salah satu parti pembangkang ataupun parti pemerintah. Dia beri gambaran bahawa PAS adalah sebahagian daripada BN.

“Saya rasa PAS cakap macam BN, saya rasa terkejut sebab bila belum jadi pemerintah PAS sudah cakap macam parti pemerintah,” katanya.

Dalam hal ini, Guan Eng juga perlu ingat bahawa Dr. Mahathir juga bercakap seperti pemerintah walaupun Pakatan Harapan belum lagi menang PRU dan Pengerusi pakatan  itu belum lagi  menjadi Perdana Menteri.

Akta AntiBerita Tidak Benar memperuntukkan beberapa kesalahan yang berkaitan dengan penyebaran berita tidak benar dan langkah bagi mengekang berita tidak benar.

Semalam, seramai 11 Ahli Parlimen PAS menyokong perbentangan RUU Anti Berita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Seramai 123 Ahli Parlimen menyokong RUU berkenaan dan 64 tidak menyokong. - Kedahnews.com