`Kerajaan Hargai Penjawat Awam' - PM Najib


ALOR SETAR - Pengumuman kerajaan untuk membina kediaman Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Kampung Padang Tembak, di sini, hari ini, menggembirakan kakitangan kerajaan, khususnya yang belum memiliki rumah sendiri.

Juliana Shuib, 32, yang bekerja di Bahagian Hasil Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), berkata beliau sangat teruja dan tidak akan melepaskan peluang untuk membeli kediaman itu.

"Rumah ini mampu dimiliki penjawat awam yang bergaji kecil seperti saya. Tambah pula, saya berasal dari sini.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada kampung yang terpencil ini. Ia pasti akan melonjakkan ekonomi di sini," katanya.

Beliau ditemui selepas Program Sepagi Bersama Perdana Menteri sempena majlis pelancaran PPA1M Bukit Pinang di Kampung Padang Tembak, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas, Asri Mansor, 53, berkata projek PPA1M itu memang bagus kepada penjawat awam untuk memiliki rumah pada harga yang berpatutan.

"Jika ingin membeli rumah dibina syarikat pemaju di kawasan ini memang agak mahal. Rumah teres kebanyakannya berharga RM300,000 ke atas.

"Saya juga mungkin akan membeli rumah ini nanti untuk anak-anak. Terima kasih kepada kerajaan kerana menghargai penjawat awam," katanya.

Pengetua SMK Dato Syed Omar, Mustaffa Ahmad, 54, berkata pemberian subsidi sebanyak RM35,000 juga amat bermakna buat penjawat awam yang ingin memiliki rumah.

"Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, pemberian subsidi ini memang berbaloi dan harga rumah masih murah," katanya.

Projek itu membabitkan pembinaan tiga fasa unit kediaman rumah teres dua tingkat dan apartmen yang akan dijual pada harga antara RM173,560.00 dan RM355,360.

Fasa satu projek itu membabitkan pembinaan 183 unit rumah teres dua tingkat. Fasa dua, pembinaan apartmen 10 tingkat membabitkan empat blok yang mempunyai 504 unit rumah, bangunan komuniti dua tingkat yang menempatkan sembilan unit kedai, kafetaria, tadika, surau, dewan serba guna dan perpustakaan.

Bagi fasa tiga, sebanyak 172 unit rumah teres dua tingkat lagi akan dibina di kawasan itu.

Sumber: BH Online