Kerajaan Pusat Belanja RM5.6 Juta Bina Rumah Orang Asli Di Kelantan


GUA MUSANG - Kerajaan Pusat membelanjakan RM5.6 juta bagi pembinaan 100 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk masyarakat Orang Asli di Gua Musang, Kelantan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff memaklumkan projek berkenaan dilaksanakan untuk memberi keselesaan dan meningkatkan taraf hidup Orang Asli di kawasan pedalaman.

Katanya, pelaksanaan projek itu akan diselenggarakan secara berperingkat oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di lebih 10 pos Orang Asli.

"Kita harap pembinaan rumah ini akan memberi kemudahan kepada penduduk di sini agar tinggal lebih selesa bersama keluarga masing-masing.

"Apabila rumah sudah selesa mereka boleh menumpukan kepada (meningkatkan) pendapatan keluarga. Kita berharap mereka yang menerima bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pusat," jelas Abdul Aziz yang ditemui selepas meninjau projek pembinaan rumah PPRT berkenaan.

Menurut Ab. Aziz, projek rumah itu sedang dalam pembinaan dan kini 90 peratus siap.

Setiap unit rumah PPRT yang dibina dianggarkan bernilai RM56,000.

Sumber: Awani