Walaupun pernah memenangi Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidaklah begitu dekat di hati dengan penduduk kawasan itu.
Penduduk Jerlun dilihat lebih rapat dan mesra dengan Ahli Parlimen mereka sekarang, Datuk Othman Aziz dan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif.
Mereka adalah dua watak penting yang sentiasa hidup di Jerlun walaupun Mukhriz pernah menjadi Ketua UMNO bahagian dan ADUN kawasan Ayer Hitam yang sebelum itu turut disandang oleh Abu Hasan dan Othman.
Selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Othman juga rapat dengan para pesawah yang merupakan penduduk teramai di Jerlun.
Hubungan rapat penduduk dengan dua tokoh itu (Othman dan Abu Hasan) mengukuhkan andaian kedua-dua mereka mampu mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun, DUN Ayer Hitam dan Kota Siputeh jika dicalonkan semula pada PRU14.
Jalinan mesra antara wakil rakyat dengan penduduk setempat merupakan resipi penting bagi menentukan kemenangan BN pada pilihan raya umum Ke-14 yang telah pun ditetapkan pada 9 Mei depan.
Walaupun Othman ialahTimbalan Menteri Kewangan, beliau sentiasa berada di kawasannya pada hujung minggu dan hari biasa untuk bersama rakyat. Ada sahaja program bersama masyarakat yang diatur untuknya.
Ini berbeza dengan Mukhriz, walaupun menjadi Menteri Besar selama dua tahun lebih, beliau tidak mengambil kesempatan untuk mendekati penduduk kampung seperti mana yang dilakukan oleh Othman dan Abu Hasan.
Mungkin kerana kedudukan Mukhriz sebagai anak bekas Perdana Menteri dan hartawan yang dibesarkan di kotaraya, menyebabkan beliau tidak mungkin dapat menghayati dan memahami naluri penduduk kampung sepenuhnya.
Namun ia tidak menjadi masalah bagi Othman dan Abu Hasan, anak kampung dan anak peneroka di mana sawah dan ladang adalah tempat permainan mereka sejak kecil hingga dewasa.
Bagi Mukhriz beliau sudah tentu berfikir dua atau tiga kali jika berhasrat untuk bertanding semula di Jerlun atau Ayer Hitam pada PRU kali ini.
Beliau tidak ada kenangan indah dengan penduduk, seperti bermain lumpur sawah, menggagau atau menyerkap keli dan haruan seperti Othman dan Abu Hasan.
Rumusannya, kerusi Jerlun dan Ayer Hitam bukan lagi tepat selamat untuk Mukhriz bertanding, apatah lagi jika kehadirannya akan membawa bendera PKR pada kali ini. - Kedahnews.com